ICARDI mengawal bola untuk melepasi pertahanan Cagliari.
AFP

MILAN: Penyerang Argentina Mauro Icardi sekali lagi meledak dua gol untuk membawa Inter Milan ke tangga teratas Serie A dengan kemenangan 3-1 ke atas Cagliari.

Kapten Inter yang berada pada prestasi terbaik itu membuka jaringan selepas 29 minit di Sardinia, sebelum menambah jaringan tujuh minit sebelum tamat untuk gol ke-15 dirinya musim ini.

Pemain tengah Inter Marcelo Brozovic dari Croatia menjaringkan gol pada minit ke-55 sebaik dimasukkan, dengan Leonardo Pavoletti merapatkan jurang untuk Cagliari 19 minit sebelum tamat permainan.

Skuad kendalian Luciano Spaletti kini masih belum tewas selepas 14 perlawanan untuk mengumpul 36 mata, meletakkan mereka satu mata di depan Napoli dan lima mengatasi juara bertahan Juventus.

“Pada mulanya kami bergelut tetapi ini adalah persembahan skuad yang kuat,” kata Spaletti. “Icardi mendapat hentakan selepas 30 saat, dia kesakitan untuk beberapa minit dan kami kehilangan sentuhannya ketika itu.

“Cagliari menekan kami dan ia cukup ganas. Mereka menyerbu kami habis-habisan sebaik kami mendapat bola. Di babak kedua kami kembali meletakkan empat pertahanan dan bermain dengan corak sebenar kami.”

Selain aksi cemerlang Icardi, Inter juga perlu berterima kasih kepada penjaga golnya Samir Handanovic yang beberapa kali menyelamatkan pintu gawang, terutama daripada percubaan Pavoletti.

Icardi kini berkongsi tangga teratas penjaring terbanyak Serie A dengan peledak Lazio Ciro Immobile.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2017 @ 2:53 PM