Azizan Hashim


“MINTA maaf. Tugas saya dengan PKNP (Perbadanan Kemajuan Negeri Perak) FC masih belum selesai.”

Begitulah kata Abu Bakar Fadzim (gambar) ketika memohon maaf kepada Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Bibi Ramjani Ilias Khan kerana tidak dapat memenuhi permintaan menjadi penggendali The Red Warriors (TRW) bagi musim 2018.

“Saya ucapkan terima kasih kepada KAFA kerana mempunyai keyakinan terhadap saya hingga membuat tawaran untuk jurulatih TRW.

“Tapi tugas saya dengan PKNP belum selesai. Pasukan ini baru ditubuhkan dua musim lalu dan saya ingin laksanakan cita-cita dan aspirasi pasukan.

“Saya sudah mengikat kontrak dua tahun dengan mereka,” kata Abu Bakar ketika menamatkan spekulasi mengenai kedudukannya sejak menerima tawaran KAFA lebih sebulan lalu.

Beliau berkata terpaksa mengambil masa untuk membuat keputusan supaya dapat membuat yang terbaik untuk dirinya.

“Ini bukan soal wang semata-mata tapi juga kepuasan melihat hasil kerja,” katanya.

Kejayaan pengendali yang lebih dikenali sebagai Burn dalam membimbing PKNP musim ini membuka mata KAFA yang menyatakan kesediaan memberi tempat kepada jurulatih itu.

Namun bekas pemain tengah Perak era 90-an itu ternyata belum puas dengan kejayaan yang dikecapi bersama anak buahnya setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 12:09 AM