GATTUSO dilantik menjadi pengurus baru Milan menggantikan Montella yang bermula hambar. -Foto AFP
AFP

MILAN: Gergasi Itali yang ‘tidur’ AC Milan melantik bekas pertahanan kentalnya, Gennaro Gattuso selaku jurulatih baharu kelab itu, hari ini selepas memecat Vincenzo Montella susulan permulaan mengecewakan musim ini.

Juara Eropah tujuh kali itu melepaskan Montella selepas Milan meraih keputusan seri tanpa jaringan menentang Torino, kelmarin yang meninggalkan mereka di tangga ketujuh Serie A dan ketinggalan 18 mata di belakang pendahulu Napoli.

Kelab yang dimiliki hartawan China itu kemudian memilih Gattuso, 39 yang dilabel legenda di kelab berkenaan tetapi memiliki pengalaman yang kurang dalam arena kejurulatihan.

Milan berterima kasih kepada Montella atas usahanya dan berkata dalam satu kenyataan: “Pengurusan pasukan utama kini diamanahkan kepada Gennaro Gattuso.”


GENNARO GATTUSO

Gattuso secara keseluruhan melakukan 468 penampilan buat AC Milan di antara 1999 hingga 2012 dan dikenali sebagai pertahanan tengah yang keras serta diberi jolokan “Rino” atas gaya permainannya yang gemar menyumpah dan ‘ganas’.

Dia menjuarai dua gelaran Serie A serta dua kejuaraan Liga Juara-Juara bersama Milan.

Gattuso juga menjadi antara tonggak skuad kendalian Marcello Lippi ketika Itali menjulang Piala Dunia pada 2006 di Jerman dan disenaraikan dalam kesebelasan terbaik kejohanan.

AC Milan gagal menamatkan saingan liga di kedudukan enam teratas dalam empat musim sebelum ini tetapi pemilik kelab dari China, Li Yonghong menyuntik dana AS$270 juta (RM1.11 bilion) untuk berbelanja pada jendela perpindahan musim panas.

Leonardo Bonucci tiba dari Juventus dengan harga 39 juta euro (RM191.1 juta) membuka mata ramai pengkritik selain kehadiran pemain Portugal, Andre Silva dari FC Porto dan Hakan Calhanoglu dari Bayer Leverkusen.

Begitupun dengan semua peningkatan yang dibuat, Montella gagal meletakkan kelab yang dianggap permata bekas Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi itu selaku pencabar dan meninggalkannya selepas 17 bulan berada di San Siro.

Tekanan kini pasti terletak di bahu Gattuso yang sebelum ini sentiasa mencetus kontroversi antaranya menampar penyerang Sweden, Zlatan Ibrahimovic yang ketika itu beraksi bersama Ajax.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 12:57 AM