MANE (kanan) besar kemungkinan diturunkan menentang Stoke. -Foto Reuters
Reuters

LONDON: Pengurus Liverpool, Juergen Klopp memberi bayangan betapa Sadio Mane dan Roberto Firmino akan disenarai dalam kesebelasan utama bagi pertemuan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan Stoke City, esok.

Pengendali dari Jerman itu meninggalkan dua tonggaknya itu dalam kesebelasan utama ketika Liverpool mencatat keputusan seri 1-1 menentang juara, Chelsea - keputusan yang akhirnya mencetus kritikan di media sosial.

Sekali pun Mane diturunkan di minit-minit terakhir permainan, Firmino langsung tidak digunakan ketika The Reds melepaskan gol penyamaan lewat di Anfield.

Kedua-dua pemain bermain sepenuh masa ketika Liverpool mencatat keputusan seri di Sevilla dalam saingan Liga Juara-Juara, minggu lalu.

“Adalah masuk akal pada tahap ketika ini untuk menggunakan semua kekuatan skuad. Tidak semestinya mereka (Firmino dan Mane) akan disenaraikan dalam kesebelasan utama (menentang Stoke),” kata Klopp.


FIRMINO (tengah) tidak diturunkan ketika Liverpool menentang Chelsea. Reuters

“Bagi aksi terakhir, mungkin kami berfikir menentang Chelsea dia memerlukan rehat di mana kami mahukan pemain yang segar dan itulah yang kami mahukan. Saya fikir ia berjalan dengan agak baik.

“Ia adalah petunjuk yang amat penting untuk skuad dan bagi saya, saya memberikan kepercayaan kepada semua pemain. Amat penting bagi saya supaya pemain-pemain menunjukkan kepada saya mereka 100 peratus bersedia, jadi ia adalah baik, amat baik.”

Klopp berkata Emre Can yang terlepas aksi dengan Chelsea susulan masalah otot kini sudah cergas dengan Dejan Lovren “hampir” untuk diturunkan dan mungkin disenarai menentang Stoke.

Liverpool yang menghuni tangga keenam dan ketinggalan 14 mata di belakang pendahulu Manchester City.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2017 @ 12:04 AM