IZHAM Tarmizi (kiri) tekad tampil dengan prestasi terbaik setiap masa. -Foto fail
Mohd Khairie Khalid


PENJAGA gawang Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohd Izham Tarmizi Roslan menegaskan dia tidak boleh sentiasa berasa ‘selamat’ bersama pasukan, sebaliknya perlu sentiasa tampil dengan prestasi baik setiap masa.

Pemain berusia 26 tahun itu berkata prestasi sentiasa menjadi keutamaan buat seseorang pemain untuk terus kekal bersama pasukan yang diwakili dalam kancah bola sepak tempatan mahupun antarabangsa.

“Walaupun saya masih ada kontrak dengan JDT, tapi tak rasa selamat kerana perlu tunjukkan prestasi yang baik.

“Kalau tunjukkan prestasi yang baik, insya-Allah tentu ada pasukan yang akan pertahankan kami. Prestasi adalah perkara yang penting buat seseorang pemain,” kata Izham ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran But Adidas Predator 18 yang berlangsung di Football Republic, dekat sini, semalam.

Mengulas lanjut, Izham berkata, rakan sepasukannya, Mohd Farizal Marlias akan kembali bersama pasukan, Februari tahun depan. Justeru Izham menyifatkan perkara itu sebagai perkembangan positif apatah lagi Farizal seorang pemain yang bekerja keras.

“Semua penjaga gol masih mempunyai kontrak dan Farizal juga akan bermain kembali bersama pasukan pada Februari. Dia seorang yang bekerja keras, maka akan wujud persaingan, tak kisah untuk saya atau Haziq (Muhammad Haziq Nadzli) dan bagi saya ia bagus untuk pasukan.

“Kita mempunyai banyak perlawanan jadi semua boleh bermain. Persaingan yang sihat untuk semua serta perkembangan baik untuk JDT,” kata Izham.

Untuk rekod, media melaporkan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) membenarkan penjaga gol JDT, Farizal kembali beraksi bermula 9 Februari depan. Keputusan itu diputuskan Jawatankuasa Rayuan AFC, bermakna tempoh penggantungan setahun dikenakan ke atas Farizal sebelum ini dipendekkan kepada lapan bulan.

Bagaimanapun, Farizal berada di dalam pemantauan badan induk itu selama empat bulan tempoh percubaan.

Sebelum ini, AFC mengenakan hukuman penggantungan selama 12 bulan serta denda ke atas Farizal selepas dia mengasari pengadil pada aksi separuh akhir kedua Piala AFC bagi zon Asia Tenggara berdepan Ceres Negros, 31 Mei lalu.

Mengikut kepada hukuman awal, Farizal digantung bermula 9 Jun lalu hingga 9 Jun tahun depan.Berdasarkan keputusan jawatankuasa berkenaan, Farizal dikehendaki menyelesaikan denda dalam tempoh 30 hari daripada tarikh keputusan mengikut Artikel 11.3 serta diberi amaran hukuman lebih berat bakal dikenakan sekiranya mengulangi kesalahan sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2017 @ 6:52 PM