Farah Azharie
farahazharie@nstp.com.my


Ketika 2017 masih berbaki sebulan lagi, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (gambar) merumuskan arena sukan negara dengan hanya satu perkataan, iaitu ‘Terbaik’.

Kesimpulan itu dibuat selepas menyaksikan Malaysia berjaya memastikan empat juara dunia menerusi Azizulhasni Awang dalam saingan berbasikal, Ziyad Zolkefli (lontar peluru F20), Abdul Latif Romly (lompat jauh T20) dan Cheong Jung Hoong (terjun).

“Daripada apa yang saya lihat, selepas kita juara keseluruhan Sukan SEA, prestasi negara dalam arena sukan sepanjang tahun ini tidak mengecewakan dengan kejayaan empat kejuaraan dunia,” kata Khairy pada sidang media Program Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP) kali ke-44, di sini, hari ini.

Dalam masa sama, Khairy turut mengulas mengenai perlantikan Datuk Prof Sundra Rajoo sebagai Jawatankuasa Etika Bebas (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

“Mana-mana lantikan oleh FIFA adalah satu penghargaan besar dan perlantikan itu mengukuhkan lagi hubungan antara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan FIFA,” katanya.

Penganjuran SSEAYP adalah bertujuan mempromosi persefahaman dan keutuhan hubungan dikalangan belia di rantau ini.

Pada tahun ini menyaksikan 320 penyertaan termasuk 28 daripada adalah dari Malaysia.

SSEAYP bermula sejak 2 November lalu itu, menyaksikan Malaysia adalah destinasi terakhir, ketika Jepun dan Malaysia menyambut ulang tahun persahabatan ke-60.

Pelayaran kapal Nippon Maru bermula dari Tokyo, merentasi empat pelabuhan antarabangsa termasuk Sihanoukville di Kemboja, Bangkok (Thailand), Jakarta (Indonesia) dan Pelabuhan Klang (Malaysia).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 12:07 AM