DJOKOVIC (kanan) melantik Stepanek untuk melatihnya.
DJOKOVIC (kanan) melantik Stepanek untuk melatihnya.
Reuters

BELGRADE: Bekas pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic berkata, dia melantik sahabat baiknya, Radek Stepanek sebagai sebahagian daripada staf kejurulatihan dan cukup gembira untuk bekerjasama dengan bekas pemain dari Republik Czech itu.

Andre Agassi yang juga pemenang lapan kejuaraan Grand Slam, akan terus melatih Djokovic di saingan Grand Slam dengan Stepanek menjadi jurulatih di kejohanan lain.

“Stepanek adalah salah seorang sahabat baik saya dan cukup kagum dengan semangat serta cintanya terhadap sukan ini.

“Dia mempunyai banyak pengalaman dan pengetahuan serta mempunyai pengalaman beraksi di peringkat tertinggi.

“Saya sangat teruja untuk bekerjasama dengannya dan tidak sabar melihatnya menjadi sebahagian daripada staf kejurulatihan,” katanya.

Djokovic yang sudah memenangi 12 gelaran Grand Slam, berdepan kecederaan panjang sebelum kecederaan di bahagian siku menyaksikannya terpaksa bersara ketika di suku akhir Terbuka Wimbledon, tahun ini.

Sejak itu, pemain kelahiran Serbia itu tidak beraksi pada perlawanan kompetitif.

Djokovic terpaksa melepaskan kedudukan ranking pertama dunia kepada Andy Murray setahun lalu yang menyaksikannya tidak menggunakan lagi khidmat jurulatih dari Jerman, Boris Becker.

Selepas tersingkir di pusingan kedua Terbuka Australia tahun ini, dia turut berpisah dengan pasukan kejurulatihannya, Mei lalu.

Stepanek, 39, berkata, dia sudah bersedia untuk membantu Djokovic kembali ke landasan kejuaraan.

“Saya sangat berbangga apabila menjadi anggota baru dalam pasukan Djokovic.

“Ia adalah satu cabaran baru dan saya percaya sebagai satu pasukan kami akan dapat membantu Djokovic meraih impiannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 9:57 AM