ANNAS ditawarkan kontrak 1+1 bermula musim 2018.
Mohd Amin Jalil
sukanteam@nstp.com.my


BEKAS penolong kapten Negeri Sembilan, Annas Rahmat begitu teruja apabila pihak pengurusan pasukan PKNS FC bersetuju menerimanya sebagai orang baharu dalam pasukan itu, bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Tonggak pertahanan tengah berusia 23 tahun itu berkata ia adalah perpindahan pertama baginya selepas terbabit dalam kancah Liga-M sebaik mewakili Negeri Sembilan selama dua tahun bermula musim 2016.

Katanya, selepas pengurusan pasukan Negeri Sembilan tidak melanjutkan kontrak bagi saingan musim depan, dia terus bersetuju sebaik menerima tawaran PKNS FC, yang menawarkan kontrak 1+1 bermula musim 2018.

“Saya amat menghargai kesudian pengurusan PKNS FC yang sedia mendapatkan khidmat saya bagi cabaran musim 2018, biarpun saya datang daripada pasukan yang beraksi di Liga Perdana.

“Tawaran itu suatu yang amat bermakna dalam karier sebagai pemain bola sepak kerana ia peluang terbaik untuk menimba pengalaman dan meningkatkan lagi tahap prestasi serta kualiti permainan.

“Biarpun perpindahan itu adalah suatu cabaran bagi saya kerana PKNS FC memiliki ramai pemain muda berwibawa, namun saya yakin dan percaya ia sangat baik untuk masa depan karier saya,” katanya di sini, hari ini.

Annas adalah pemain muda yang berjaya dilahirkan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) apabila dia mula mendapat pendedahan selepas menyertai skuad Piala Presiden Negeri Sembilan.

Pada kempen Liga-M musim 2017, dia antara tonggak penting dalam skuad Hobin Jang Hobin apabila sering mendapat kepercayaan pengendali skuad itu, Mohd Asri Ninggal dan kerap diturunkan sepanjang perlawanan.

Malah, pemain kelahiran Seremban itu antara yang memainkan peranan dalam membantu Negeri Sembilan mara ke peringkat separuh akhir Piala FA 2017, sebelum kecundang kepada Pahang.

Bagi bekas pemain skuad Harimau Muda itu, dia mahu mencabar dirinya sendiri dan akan berusaha memastikan sumbangannya kelak mampu melonjakkan reputasi skuad berkenaan.

Biarpun sedar peluang untuk berada dalam senarai kesebelasan utama pasukan itu bukan suatu yang mudah, namun, Annas berazam untuk memastikan tempatnya sentiasa terjamin.

“Pastinya, saya tidak akan mensia-siakan peluang yang diberikan pengurusan PKNS FC ini dan saya akan bekerja lebih keras dengan menampilkan tahap prestasi terbaik serta kualiti permainan yang tinggi, untuk melonjakkan nama pasukan serta reputasi diri.

“Saya berharap kehadiran dalam pasukan ini nanti dapat membantu memastikan sasaran yang ditetapkan pengurusan PKNS FC bagi musim depan, tercapai sepenuhnya,” katanya yang akan memulakan latihan dengan pasukan itu, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2017 @ 4:57 PM