IRWANDIE menyertai acara scratch dan kejar-mengejar berpasukan.
Azlan Muhammad Zain


KEJAYAAN meraih dua pingat emas di Sukan SEA pada Ogos lalu mahu diteruskan pelumba trek negara, Mohd Irwandie Lakasek apabila bersaing di peringkat lebih tinggi.

Pelumba kelahiran Terengganu berusia 21 tahun itu antara yang diberikan kepercayaan untuk menggalas cabaran negara di Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2018 di Velodrom Nasional pada Februari tahun depan.

“Mengikut perancangan saya akan menyertai acara scratch dan kejar-mengejar berpasukan, sama seperti Sukan SEA yang lalu dengan saya meraih dua emas.

“Saya meletakkan sasaran untuk memenangi pingat dalam acara scratch. Berdasarkan kedudukan semasa, saya antara lima pelumba yang mampu mencabar pingat di ACC nanti.

“Bagaimanapun saya tidak boleh memandang mudah dan perlu berusaha dengan lebih keras mencapai tahap terbaik,” katanya.

Irwandie pernah meraih emas dalam acara scratch ACC pada 2013 namun ia adalah di peringkat remaja.

“Bagi acara kejar-mengejar berpasukan, saya mengharapkan mampu memperbaiki rekod kebangsaan yang dilakar pada Sukan SEA lalu,” katanya.

Jelasnya, persembahan di ACC amat penting bagi dirinya bagi memastikan namanya tidak tercicir untuk saingan Sukan Komanwel di Gold Coast yang dijadualkan berlangsung pada April tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2017 @ 10:02 PM