PEMAIN United sedang jalani latihan sebelum pertemuan menentang musuh setempat City. -Foto AFP
PEMAIN United sedang jalani latihan sebelum pertemuan menentang musuh setempat City. -Foto AFP
Reuters

MANCHESTER: Pertembungan musuh setempat Manchester kali ke-175 dalam aksi Liga Perdana Inggeris pasti menarik dengan United sudah tentu mahu mempertahankan rekod bersih 40 perlawanan tanpa tewas di halaman sendiri apabila berdepan City, tengah malam ini.

Buat skuad kendalian Pep Guardiola, kemenangan di Old Trafford bukan saja mampu mengukuhkan kedudukan mereka selaku pendahulu liga dengan jurang 11 mata, malah turut membabitkan soal reputasi yang mahu dipertahankan.

Berikut lima sebab mengapa United boleh memenangi aksi musuh setempat Manchester di Old Trafford, tengah malam ini.

1. Adakah Jose Mourinho akan memilih taktikal memarkir bas atau bertahan di depan penyokong sendiri?

Pengurus United, Jose Mourinho dikritik hebat oleh penyokong sebelum ini kerana menggunakan corak permainan negatif (bertahan) ketika berdepan Liverpool di Anfield Oktober lalu yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat. Sistem sama diulangi United ketika menang 3-1 ke atas Arsenal di Stadium Emirates apabila bertahan sepanjang aksi dan sesekali melakukan serangan balas dengan penjaga golnya, David de Gea beraksi cukup cemerlang menafikan segala percubaan berbahaya tuan rumah. Maka, tidak mustahil taktikal sama akan digunakan Mourinho.

2. United memiliki pemain sayap pantas dan licik

Dua pemain sayap di bahagian kanan dan kiri iaitu Antonio Valencia dan Ashley Young pastinya akan memeningkan kepala Guardiola untuk menghalang pergerakan dua tonggak lincah itu yang terkenal dengan larian pantas dan hantaran lintang mengelirukan.

3. Taktik kawalan ketat pemain United sering menjadi

Persembahan United musim ini nyata berbeza apabila menggunakan pendekatan kawalan ketat ke atas setiap pemain berbanding kawalan zon sebelum ini. Mereka cukup berdisiplin sebagai satu unit dan sering membantu ketika menyerang mahupun bertahan. Sudah tentunya dengan corak sebegini akan mengundang masalah buat pemain City yang gemar bermain hantaran pendek sekali gus sukar untuk mereka menembusi benteng tuan rumah.

4. Faktor tonggak tengah bertahan Nemanja Matic

Sejak Matic menyertai United musim ini, posisi tengah dilihat lebih mantap dengan pemain tinggi lampai itu berjaya memainkan peranannya mengganggu gerakan lawan khususnya di bahagian tengah. Justeru, sentuhan Matic sekali lagi diharapkan untuk mematahkan idea dan visi David Silva, Leroy Sane, Raheem Sterling dan Kevin De Bruyne.

5. Kepulangan semula Zlatan Ibrahimovic menambah sengat United selain Romelu Lukaku

Lukaku hampir pasti akan diturunkan untuk mengetuai jentera depan United. Biarpun pemain kebangsaan Belgium itu dilihat agak bergelut ketika ini, Mourinho tetap percaya dengan kebolehan penyerang itu. Seandainya dia dikeluarkan, United masih memiliki Ibrahimovic yang mempunyai sentuhan pemusnah berbisa dan boleh mengundang bahaya jika tidak dikawal.

INFO

Rekod pertemuan

Manchester United lwn Manchester City (10 perlawanan terakhir)

Man City 0-0 Man United (Liga Perdana Inggeris, April 2017)

Man United 1-0 Man City (Piala Liga, Oktober 2016)

Man United 1-2 Man City (Liga Perdana Inggeris, September 2016)

Man City 0-1 Man United (Liga Perdana Inggeris, Mac 2016)

Man United 0-0 Man City (Liga Perdana Inggeris, Oktober 2015)

Man United 4-2 Man City (Liga Perdana Inggeris, April 2015)

Man City 1-0 Man United (Liga Perdana Inggeris, November 2014)

Man United 0-3 Man City (Liga Perdana Inggeris, Mac 2014)

Man City 4-1 Man United (Liga Perdana Inggeris, September 2013)

Man United 1-2 Man City (Liga Perdana Inggeris, April 2013)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2017 @ 1:20 PM