NIK Akif (kiri) dan Shivan Pillay ketika sesi latihan pasukan kebangsaan B-23 di Wisma FAM Kelana Jaya. -Foto OSMAN ADNAN
Zulfaizan Mansor


TONGGAK tengah skuad bawah 23 (B-23) tahun, Nik Akif Syahiran Nik Mat tekad merebut posisi perancang utama skuad itu bagi mengharungi kempen Kejuaraan AFC B-23 di China, bulan depan.

Biarpun berdepan tugas sukar bersaing bersama pemain senior lain, Nik Akif bagaimanapun tetap menganggap ia bukan penghalang untuknya memikat hati pengendali Datuk Ong Kim Swee.

Malah, pemain skuad Piala Presiden Kelantan itu mengakui sudah tidak berdepan masalah menyesuaikan diri bersama tonggak skuad B-23 lain selepas kali pertama disenaraikan Kim Swee menyertai kem latihan pusat.

“Idola saya Nor Azam Abd Azih dan dia juga bermain di posisi sama. Apa pun, saya perlu buat yang terbaik untuk merebut tempat dalam skuad ini.

“Kita tahu majoriti pemain senior sudah lama berlatih bersama, berbanding saya yang kali pertama dipanggil. Tapi saya akan cuba yang terbaik untuk membalas kepercayaan jurulatih,” katanya pada sesi latihan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), hari ini.

Kejayaan membantu skuad B-19 tahun mara ke pusingan akhir Kejuaraan AFC B-19 dilihat menjadi faktor Nik Akif dipanggil Kim Swee menyertai kem latihan kali ini.

Kim Swee bagaimanapun akan menyenaraikan hanya 26 daripada 29 pemain yang akan ke Korea Utara bagi melakukan persiapan mengharungi Kejuaraan AFC B-23, Januari ini.

Selain itu, Nik Akif turut menyifatkan ini peluang terbaik mendapatkan pendedahan lebih tinggi di peringkat antarabangsa bersama skuad B-23.

“Bersaing di peringkat B-19 dengan B-23 sudah pasti berbeza, apatah lagi terpaksa bersaing dengan pemain lebih senior. Tapi ini peluang terbaik untuk saya terus mengembangkan bakat yang ada dan membantu negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2017 @ 8:25 PM