CHONG Wei (kiri) memberi tentangan sengit kepada  Axelsen
CHONG Wei (kiri) memberi tentangan sengit kepada Axelsen
Helmi Talkah


DATUK Lee Chong Wei membuktikan dirinya kekal sebagai contoh terbaik bagi pemain muda negara dan yang paling penting taringnya masih belum tumpul.

Selepas suatu ketika dia bergelut dengan prestasi tidak menentu sehingga hilang keyakinan untuk berdepan setiap lawannya, Chong Wei kini dilihat sudah kembali pada tahap terbaiknya.

Semalam, dia membuktikan masih kekal sebagai pencabar utama dalam kategori perseorangan lelaki apabila berjaya memberi tentangan sengit kepada pemain yang jauh lebih muda dari Denmark yang juara dunia 2017, Viktor Axelsen pada final Siri Super Akhir di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.

Walaupun tewas 21-19, 19-21, 15-21, aksi Chong Wei, 35, berjaya menarik perhatian dunia terutama ketika set kedua yang menyaksikan dia ketinggalan jauh tetapi berjaya menyamakan kedudukan sebelum kesilapan pada pukulan servis membolehkan Axelsen menang dan mengheret perlawanan ke set penentuan.

“Di set kedua, Axelsen meninggalkan saya dengan jurang mata yang jauh tapi saya berjaya menyamakan kedudukan menjadi 19-19. Namun, selepas itu saya ada buat kesilapan menerusi pukulan servis dan dia memanfaatkannya untuk memenangi set itu dan seterusnya mengheret perlawanan ke set penentuan.

“Axelsen bermain sangat baik dan dia juga masih muda. Dia bermain dengan corak permainan pantas dan melakukan serangan sepanjang perlawanan,” kata Chong Wei.

Kekalahan itu menyaksikan Chong Wei yang juga pemain nombor dua dunia gagal dalam misi untuk merangkul gelaran kelima Siri Super Akhir selepas memenanginya pada 2008 di Kota Kinabalu, 2009 (Johor Bahru), 2010 (Taiwan) dan 2013 (Kuala Lumpur).

Sementara itu, jurulatih kebangsaan, Datuk Tey Seu Bock yang menemani Chong Wei di Dubai, berkata pemain utama negara itu sudah memberikan aksi terbaik tetapi kredit perlu diberikan kepada Axelsen kerana memanfaatkan sepenuhnya kelebihan fizikal dimilikinya untuk memenangi perlawanan.

“Chong Wei sudah berikan yang terbaik. Kedua-dua pemain itu sebenarnya bermain sangat baik dan menunjukkan kesabaran tinggi. Siapa yang kurang buat kesilapan dan lebih bersabar, dia akan menang.

“Dari aspek fizikal, Axelsen memang mempunyai kelebihan dan dia menggunakan sepenuhnya kelebihan itu,” kata Seu Bock.

Chong Wei menutup tirai kalendar 2017 dengan merangkul dua gelaran juara dan tiga naib juara. Dia muncul juara Seluruh England dan Terbuka Hong Kong manakala menjadi naib juara Terbuka Malaysia, Terbuka Jepun dan Siri Super Akhir.

Pemenang pingat perak Olimpik tiga kali itu akan bercuti panjang sebelum kembali ke gelanggang bagi membantu skuad negara menghadapi Kejohanan Berpasukan Asia di Kedah, Februari depan yang juga pusingan kelayakan ke Piala Thomas 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2017 @ 2:48 PM