AHMAD Sarji ketika pelancaran kalendar jelajah PGM 2017 di TPC Kuala Lumpur. FOTO/OWEE AH CHUN
Ferzalfie Fauzi


PERSATUAN Profesional Golf Malaysia (PGM) memandang serius dalam usaha untuk melahirkan pemain wanita berkaliber apabila mewujudkan 10 kejohanan musim depan dengan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM350,000.

Menurut Presiden PGM, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, ia sebagai jalan terbaik untuk menarik lebih ramai pemain muda wanita menyertai kejohanan dalam kalendar Jelajah PGM tahun depan, sama seperti dilakukan negara lain seperti Thailand, Filipina dan Indonesia.

“Jadi kita akan nilai kembali kejohanan ini selepas berakhirnya musim 2018 dan kelayakan pemain bukan secara automatik. Tapi kita mungkin mempunyai enam atau tujuh pemain yang layak kerana sudah bermain di kejohanan berprestij seperti Jelajah Amerika Syarikat,” katanya selepas Majlis Pelancaran Jelajah PGM 2018 hari ini.

Jelasnya, pemain dari luar negara juga akan dipertimbangkan untuk menyertai 10 kejohanan berkenaan terutama dari Indonesia namun jumlahnya agak terhad.

“Kehadiran pemain negara lain adalah untuk meningkatkan semangat juang serta daya saing pemain negara selain sebagai antara usaha untuk menambah jumlah penyertaan,” kata Ahmad Sarji.


KELLY Tan antara pemain golf negara yang berjaya.

Setiap kejohanan akan membabitkan wang tunai keseluruhan RM35,000, peningkatan mendadak berbanding tahun ini apabila hanya RM15,000 dengan hanya lima kejohanan dipertandingkan.

Mengenai kejayaan Gavin Kyle Green yang dinobatkan Pemain Terbaik Jelajah Asia 2017, beliau mengakui Juara Masters Taiwan itu mampu menjadi kuasa besar dari Malaysia dan beraksi cemerlang di Piala EurAsia bulan depan.

“Saya berharap kejayaannya menjadi inspirasi, kerana dia masih muda. Dia bukan saja mendahului pemain Asia yang lain namun mampu memberi saingan kepada pemain dari Eropah dan Amerika Syarikat di Jelajah Asia. Persaingan untuk kedudukan terats Jelajah Asia memang sukar.

“Kita juga bangga dengan pencapaian PGM pada 2017 kerana dapat melahirkan pemain muda termasuk juara Jelajah PGM, Shariffuddin Ariffin yang baru berusia 18 tahun. Dia juga mempunyai rekod permainan cemerlang selepas melakukan banyak pukulan di bawah par. Dia mampu mewarisi pemain yang ada sekarang seperti Danny Chia, Ben Leong dan Nicholas Fung,” katanya.

Selain 10 kejohanan untuk kategori wanita, PGM juga mengumumkan 28 pertandingan lain tahun depan dengan nilai hadiah keseluruhan RM5.21 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2017 @ 5:42 PM