SYAM (kanan) didenda RM3,000 selepas melanggar Artikel 51.1(a) dibaca bersama dengan Artikel 59 Tatatertib FAM.
Mohd Fitrie Muhamad


GARA-gara tidak profesional, bertindak ganas dan gagal pamer semangat kesukanan tinggi menyaksikan jurulatih penjaga gol, Zulkipli Ismail dan tiga pemain Terengganu City FC masing-masing dikenakan hukuman gantung.

Zulkipli menerima hukuman paling berat apabila digantung selama enam bulan manakala Shafuan Adli Shaari dan Syam Shahril Ghulam sebanyak lima perlawanan serta tiga aksi bagi Mohd Haris Safwan Mohd Kamal.

Semua kesalahan dilakukan ketika aksi suku akhir kedua Piala FAM 2017 yang membabitkan perlawanan antara FELCRA FC dan Terengganu City FC di Arena Universiti Malaya pada 27 September lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu berkata semua hukuman membabitkan empat individu itu masih boleh dirayu.

“Zulkipli melanggar Artikel 50.1(b) dibaca bersama dengan Artikel 18.4 Kod Tatatertib FAM kerana berkelakuan ganas dengan mengejar dan menendang penolong pengadil 1, Mohd Khairul Nizam Radzali di bahagian betis kaki kiri.

“Penggantungan selama enam bulan berkuatkuasa serta merta dari 20 Disember 2017 hingga 19 Jun 2018, membabitkan perlawanan rasmi atau pun tidak rasmi, selain didenda RM5,000 dan amaran keras,” katanya menerusi satu kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Selain digantung lima perlawanan, Shafuan dan Syam turut didenda RM3,000 selepas melanggar Artikel

51.1(a) dibaca bersama dengan Artikel 59 Kod Tatatertib FAM akibat tindakan mereka yang tidak bersemangat kesukanan dengan memasuki padang dan mengejar pengadil perlawanan, Abd Rahman Wahab.

Mohd Haris pula didapati melanggar Artikel 50.1(d) dibaca bersama dengan Artikel 18.4 Kod Tatatertib FAM kerana berkelakuan ganas, menampar pemain FELCRA FC berjersi 21, Ammar Akhmal Alias.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 12:58 PM