MORATA (kiri) digantung satu perlawanan.
AFP

LIVERPOOL: Antonio Conte memberitahu Chelsea kehilangan Alvaro Morata dalam kunjungan ke Everton sekali gus menjadi satu tamparan hebat kepada pasukannya dalam usaha untuk mengejar kedudukan Manchester City selaku pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL).

Morata digantung satu perlawanan selepas menjaringkan gol kemenangan pada minit tambahan suku akhir Piala Liga pertengahan minggu ke atas Bournemouth yang bakal berdepan Arsenal di separuh akhir.

Penyerang Sepanyol itu digantung selepas memasukkan bola ke dalam bajunya untuk memaklumkan bahawa isterinya kini sedang hamil tetapi dia mendapat perhatian pengadil kerana pemain Bournemouth mahu mengambil bola berkenaan untuk memulakan pemainan secepat mungkin.

Ia adalah kesalahan kelima bagi Morata pada musim ini dan mengakibatkan pemain Chelsea berkenaan digantung satu perlawanan dan menyebabkan Conte dalam dilema untuk memilih siapakah bakal diletakkan sebagai penjaring golnya nanti.

Michy Batshuayi adalah antara pemain penyerang tengah yang ada dalam skuad Chelsea tetapi pemain Belgium itu gagal menarik perhatian biarpun diturunkan minggu ini.

Bagaimanapun, Conte lebih gemar menggunakan Eden Hazard untuk mengisi kekosongan itu. Hazar ditinggalkan dalam sembilan perlawanan.

“Sudah pasti, Morata sepatutnya bermain apabila kami menentang Everton nanti. Dia sepatutnya memulakan permainan namun sekarang saya kena fikirkan rancangan lain.

“Saya mempunyai pilihan berbeza dan saya mempunyai satu hari untuk membuat keputusan terbaik sebelum berdepan dengan Everton. Semua pemain menunjukkan prestasi terbaik ketika sesi latihan dan saya mempunyai masa untuk membuat keputusan,” kata Conte.

Chelsea kini berada di tangga ketiga dengan perbezaan 14 mata berbanding Manchester City yang berada di kedudukan teratas EPL dan berhasrat mengekalkan jurang empat mata dari pasukan ditangga keempat liga.

Berikutan itu, Conte menjelaskan perlawanan terakhir sebelum cuti perayaan sempena sambutan Hari Krismas berkenaan adalah amat penting bagi Chelsea.

“Saya ingin menghabiskan Krismas yang baik dengan permainan yang bagus, kemenangan yang baik. Ia sangat penting untuk mendapatkan tiga mata, tetapi kami tahu bahawa dalam lima perlawanan terakhir, Everton memenangi empat perlawanan.

“Mereka berada dalam momentum yang baik. Mereka menukar jurulatih dan mempunyai hasil yang baik. Atas sebab ini, kita perlu memberi perhatian pada hari Sabtu. ”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2017 @ 12:25 AM