SIMIC (kiri) ditawarkan kontrak bersama Kelantan setahun.
Hasbullah Ibrahim


BEKAS pemain Melaka United (MU), Marco Simic dan Misagh Medina Bahadoran bakal melengkapkan dua kuota import Kelantan musim depan.

Pemain dari Croatia dan Filipina itu akan mengemudi jentera serangan skuad The Red Warriors (TRW) dengan tawaran kontrak selama setahun.

Selain itu, Kelantan akan turut mengikat bekas import UiTM FC kelahiran Korea Selatan, Do Dong Hyun bersama Cassio Francisco De Jesus dari Brazil dan Margaro Lima Gomis (Australia).

Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan mengesahkan perkembangan itu di sini.

Katanya, Simic dan Bahadoran dijadual tiba di sini, pada Khamis ini bagi menandatangani kontrak.

“Simic bersetuju menandatangani kontrak selama setahun dan KAFA bersetuju menandatangani kontrak dengan beliau secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi.

Mengenai import ASEAN, Bibi Ramjani berkata, KAFA sudah mempunyai calon yang menepati kehendak panel pemilihan.

“Buat masa ini, Bahadoran menjadi pilihan KAFA untuk digandingkan dengan Marco Simic mengetuai jentera serangan pasukan.

“Bahadoran yang juga bekas pemain kebangsaan Filipina itu bakal hadir pada Jumaat ini dalam majlis jamuan ramah mesra KAFA bersama Persatuan Bolasepak Jajahan (PBJ) dan peminat di Kok Lanas,” katanya.

Bibi Ramjani berkata, TRW kini boleh menumpukan sepenuhnya kepada latihan selepas melengkapkan lima kuota awang import musim depan.

“Perlawanan persahabatan pra musim bakal diadakan dengan Terengganu II (TFC II) di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV pada Khamis ini. Ia akan memberi peluang kepada ketua jurulatih, Sathit Benshoh untuk menguji tahap keserasian pemain tempatan dan import pasukan.

“Kita akan mempersiapkan pasukan bagi merebut Piala Sportfix Super Cup yang menyaksikan saingan tiga penjuru menentang dua pasukan liga utama dari Indonesia, Persija Jakarta dan dari Thailand, (Ratchaburi FC) bermula 15 hingga 24 Januari ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2017 @ 11:33 AM