PKNP hilang lima tonggak utama.
Azizan Hashim


PERBADANAN Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC akan berusaha membentuk semula pasukan mantap dan berwibawa bagi menghadapi musim 2018 selepas kehilangan lima tonggak utama.

Lima pemain itu adalah ketua pasukan, Shahrel Fikri Fauzi yang berpindah ke Johor Darul Ta’zim (JDT), Shukri Hamid (Kelantan), pemain Korea Selatan, Kim Hyun Woo (Terengganu FC I), Gilberto Fortunato (FELDA United) dan Syazwan Zaipol Bahari yang pulang ke Perak selepas dipinjamkan.

“Ketiadaan mereka satu tamparan dan tekanan besar untuk mengharungi cabaran Liga Super musim depan.

“Justeru pasukan ini perlu dibentuk kembali,” kata jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim.

PKNP akan menguji dua pemain import dari Eropah dalam perlawanan persahabatan dengan FELDA United di Bangi, esok.

Bagaimanapun Abu Bakar tidak mendedahkan identiti dua pemain itu kecuali menyatakan seorang penyerang dan seorang lagi pertahanan tengah.

“PKNP dalam rangka mencari pemain import berkualiti yang dapat membantu dan menunjukkan teladan terbaik untuk membantu pasukan mengharungi kempen Liga Super,” katanya.

Beliau berkata, jika menepati cita rasa dan memenuhi kriteria diperlukan, dua pemain itu akan bergandingan dengan Ritus Krjauklis (Latvia), Yeon Gi Sung (Korea Selatan) dan Keo Sokpheng (Kemboja).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2017 @ 4:09 PM