LITAR Sepang tamatkan penganjuran Formula Satu.
LITAR Sepang tamatkan penganjuran Formula Satu.

TIRAI sukan tanah air ditutup dengan rasminya tepat jam 12 tengah malam ini, namun kenangan pahit manisnya akan terus terpahat di ingatan setiap yang terbabit.

Ia bermula dengan kejayaan Mohd Faiz Subri meraih Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016 pada Januari 2017 yang meletakkan nama Malaysia sebaris dengan kuasa-kuasa besar bola sepak dunia, sebelum dicemari oleh prestasi buruk skuad senior yang gagal meraih sebarang kemenangan dalam semua perlawanan tahun ini.

Ketika sebahagian atlet Malaysia melakar nama di pentas dunia, segelintir lagi dipalit kontroversi apabila gagal ujian doping. Kemelut dalaman persatuan serta sikap negatif segelintir mereka yang terbabit dalam industri turut mencemar kemeriahan sukan tanah air. Berikut adalah ringkasan kejayaan, isu, kontroversi membabitkan sukan negara sepanjang tahun ini.

Pencapaian:

* April

Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang yang digelar ‘The Pocket Rocketman’ menjuarai acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Hong Kong.

AZIZULHASNI menjuarai acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Hong Kong.
AZIZULHASNI menjuarai acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Hong Kong.

* Jun

Skuad hoki lelaki negara meraih tiket ke Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India selepas layak ke peringkat suku akhir kempen Separuh Akhir Liga Hoki Dunia Jun lalu apabila membelasah China 5-1 di London.

SKUAD hoki negara layak ke Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India.
SKUAD hoki negara layak ke Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India.

* Julai

Cheong Jun Hoong (terjun) dinobatkan juara dunia acara 10 meter platform wanita pada Kejohanan Akuatik Dunia di Budapest.

Skuad bola sepak lelaki bawah 22 tahun layak ke Kejuaraan AFC Bawah 23 dengan muncul sebagai juara kumpulan dalam pusingan kelayakan di Bangkok, Thailand.

JUN Hoong juara dunia acara 10m platform wanita.
JUN Hoong juara dunia acara 10m platform wanita.

* Ogos 2017

Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017). Kontinjen negara muncul juara keseluruhan dengan meraih 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa. Bertemakan “Bangkit Bersama”, temasya ini berjaya menggamit rakyat memenuhi segenap penjuru stadium untuk memberi sokongan termasuk majlis perasmian dan penutup.

* September 2017

Temasya Sukan Para ASEAN ke-9 (Para KL2017) - Malaysia menamatkan saingan di tempat kedua dengan kutipan 90 pingat emas, 85 perak dan 83 gangsa iaitu 258 pingat secara keseluruhan.

* Oktober

Wong Weng Son meraih gelaran juara dunia sukan wushu acara jianshu lelaki (pedang) dengan jumlah mata keseluruhan 9.64 di Kejohanan Dunia yang berlangsung di Kazan, Russia.

Juara dunia bina badan, Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah mempertahankan gelaran Mr Universe pada Kejohanan Bina Badan Dunia dan Sukan Fizik di Mongolia.

WENG Son  meraih gelaran juara dunia sukan wushu acara jianshu lelaki (pedang).
WENG Son meraih gelaran juara dunia sukan wushu acara jianshu lelaki (pedang).

* November

Johor Darul Ta’zim (JDT) membuktikan mereka raja bola sepak tanah air apabila merangkul kejuaraan Piala Malaysia buat julung kali selepas menewaskan juara bertahan Kedah 2-0 pada aksi final di Stadium Shah Alam pada 4 November.

Skuad bawah 19 tahun negara (B-19) menempah slot ke pusingan akhir Kejuaraan B-19 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018 di Indonesia apabila mengesahkan kedudukan dalam kelompok lima naib juara terbaik pada kempen kelayakan.

* Disember

Skuad boling wanita negara - Shalin Zulkifli, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, Sin Li Jane dan Natasha Roslan menamatkan kemarau 10 tahun apabila memenangi pingat emas pada Kejohanan Boling Dunia di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS).

SHALIN bersama rakan sepasukan memenangi pingat emas pada Kejohanan Boling Dunia di Las Vegas.
SHALIN bersama rakan sepasukan memenangi pingat emas pada Kejohanan Boling Dunia di Las Vegas.

Anugerah:

* Arena sukan tanah air menyaksikan atlet paralimpik dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan buat julung kalinya menerusi Abdul Latif Romly (olahraga para).

- Abdul Latif meraih pingat emas dan mencipta rekod baharu dunia dalam acara lompat jauh T20 pada temasya Sukan Paralimpik di Rio de Janeiro, Brazil, membolehkan beliau menjadi penerima anugerah tertinggi sukan negara itu.

LATIF  atlet paralimpik dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan.
LATIF atlet paralimpik dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan.

* Mohd Faiz Subri meraih Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016.

- Diumumkan pada 10 Januari 2017 dan menjadi penanda aras baharu dalam arena bola sepak tanah air untuk mencapai kecemerlangan di persada antarabangsa.

FAIZ bersama peminat (kiri) dan keluarga ketika memenangi Anugerah Puskas FIFA.
FAIZ bersama peminat (kiri) dan keluarga ketika memenangi Anugerah Puskas FIFA.

Isu dan kontroversi:

* Atlet elit, Wendy Ng Yan Yee (terjun) gagal saringan doping untuk bahan terlarang jenis sibutramine yang kebiasaannya terdapat dalam produk pelangsing badan ketika Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

* Mohd Hafifi Mansor (angkat berat) disahkan gagal ujian doping membabitkan Oxymetholone, sejenis bahan steroid sintetik anabolik dan androgenik.

* S Kumar (penjaga gol hoki kebangsaan) - disahkan gagal ujian doping ketika berlangsungnya Sukan Asia, pada Oktober 2017.

* Seorang jurulatih renang kebangsaan yang terbabit dalam program ‘Kita Juara’ pada KL2017 ditahan polis selepas didakwa merogol seorang atlet pada Oktober 2017.

WENDY gagal ujian doping.
WENDY gagal ujian doping.

* Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menganjurkan perlumbaan terakhir Kejuaraan Dunia Formula Satu (F1) sempena GP Malaysia pada 29 September hingga 1 Oktober 2017. Selepas beroperasi sejak 1999 sehingga 2017, kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan perlumbaan bagi musim 2018 kerana masalah kos.

* Kongres FAM ke-53 menyaksikan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dilantik sebagai Presiden baharu bagi penggal 2017-2021 selepas menang tanpa bertanding apabila pencabarnya, Tan Sri Annuar Musa, menarik diri.

TUNKU Ismail Presiden FAM baharu.
TUNKU Ismail Presiden FAM baharu.

* 29 April 2017 - Kemelut ‘gentleman agreement’ untuk jawatan presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membabitkan dua calon iaitu pemangku presiden, Tan Sri Mohamed Al Amin Abd Majid dan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

- Al Amin bersetuju dengan penyelesaian secara baik untuk menyerah jawatan kepada Norza dan BAM melantik Mohamed Al Amin sebagai Penasihat BAM.

* Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar mengumumkan berundur dan tidak akan bertanding merebut jawatan dalam pemilihan MOM Jun 2018 selepas 20 tahun berkhidmat.

* Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan sukan angkat berat, sepak takraw dan taekwondo digugurkan daripada 19 jenis sukan teras di bawah program Majlis Sukan Negara (MSN) bermula pada Sukan Malaysia (SUKMA) di Perak pada September depan.

* Kapten JDT, Safiq Rahim dikecam apabila mengeluarkan perkataan berbaur lucah di depan wakil media yang sedang merakam detik manis kejayaan JDT menjuarai Piala Malaysia selepas mengatasi Kedah, 2-0 di Stadium Shah Alam pada 4 November lalu. Isu ini berlarutan ketika Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga masih membisu mengenainya.

VINGADA (tengah) gagal membentuk skuad mantap.
VINGADA (tengah) gagal membentuk skuad mantap.

* Jodoh Nelo Vingada yang digelar ‘The Professor’ bersama skuad Harimau Malaya hanya bertahan enam bulan, enam hari apabila jurulatih dari Portugal itu mengambil keputusan melepaskan jawatan disandangnya pada 6 Disember.

Vingada dilantik secara rasmi pada 15 Mei tahun ini dan terus mengetuai pasukan menentang Lubnan dalam aksi kelayakan Piala Asia, namun gagal meraih sebarang kemenangan dalam tujuh perlawanan. Penolongnya, Tan Cheng Hoe dilantik sebagai pengendali baharu.

* Akibat enggan mewakili negara ke pertandingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) musim depan, Pahang dihukum dilarang daripada memohon Lesen Kelab AFC selama dua tahun oleh FAM (musim 2019, 2020).

* Ketua jurulatih skuad elit terjun negara, Yang Zhuliang tidak disambung kontrak selepas dikatakan gagal membendung budaya tidak sihat dalam kem kebangsaan sehingga menjurus kepada kes rogol, gangguan seksual, ugutan, penderaan fizikal dan buli.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2017 @ 3:29 PM