LUIZ (kanan) dikatakan tidak beraksi kerana kecederaan. -Foto Agensi
Reuters

LONDON: Pengurus Chelsea Antonio Conte berkata beliau menjangkakan keseluruhan skuad bimbingannya akan kekal di kelab berkenaan pada jendela perpindahan Januari ini termasuk pertahanan yang sedang tersisih, David Luiz.

Pemain kelahiran Brazil itu digugurkan dalam skuad Chelsea bagi aksi Liga Perdana Inggeris menentang Manchester United, West Bromwich Albion dan Liverpool pada November sebelum dipalit kecederaan lutut yang menghalangnya daripada diturunkan selepas itu.

Conte kekal mengatakan ketiadaan Luiz adalah disebabkan taktikal tetapi laporan media secara konsisten memberi petunjuk wujud perbalahan di antara pemain berusia 30 tahun itu dengan pengurusnya lantas dikaitkan dengan beberapa kelab utama.

“Keadaan fizikal David meningkat dengan mendadak sejak beberapa hari lalu. Dia bekerja dengan kami dan saya fikir dia antara calon bagi perlawanan menentang Norwich (Sabtu ini),” Kata Conte menjelang perlawanan dengan Arsenal, esok.

“Saya amat gembira untuk bekerja dengan pemain-pemain ini. Saya tidak melihat sebarang masalah.”


ANTONIO CONTE

Begitupun, pengurus kelahiran Itali itu tidak menolak kemungkinan beberapa pemain yang tidak berpuas hati akan meninggalkan kelab itu.

“Saya faham jika beberapa pemain tidak bermain secara kelab dan mahu berpindah,” katanya.

“Jangkaan saya adalah kesemua pemain yang kami miliki dalam skuad akan kekal di sini dan meneruskan kerja kami. Skuad kami tidak besar dan disebabkan alasan ini mustahil untuk meminjamkan atau menjual seorang pun pemain jika kami tidak mendapatkan pemain lain.”

Conte juga menolak laporan yang mengatakan Chelsea sedang berusaha mendapatkan pertahanan Juventus, Giorgio Chiellini yang kontraknya bersama gergasi Itali itu dijadual berakhir pada Jun.

“Giorgio pemain yang menakjubkan tetapi saya fikir dia mahu menamatkan kariernya di Juventus. Saya fikir ia sesuatu yang benar,” kata Conte yang turut berkata Chelsea tidak akan memanggil semula pemain mereka yang dipinjamkan ke kelab lain Januari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2018 @ 6:39 AM