LOBO (kanan) mendakwa masih terdapat gaji tertunggak daripada FAP.
Rudy Syareme Sheriffudin


PERSATUAN Bolasepak Pulau Pinang (FAP) akan meneliti segala dakwaan bekas pemain import Reinaldo Lobo berhubung tunggakan gaji yang masih belum dijelaskan sehingga kini.

Pemegang Amanah yang menjalankan tugas Presiden FAP, Datuk Abdul Rashid Ismail berkata, sejak peletakan jawatan presiden dan Naib Presiden FAP pelbagai masalah berlaku termasuk pembayaran gaji pemain.

Beliau berkata, pihaknya ingin memaklumkan bahawa tunggakan gaji pemain hanya tertunggak dua bulan dan usaha untuk membayar gaji sedang dilakukan dalam tempoh terdekat ini.

Katanya, mengenai dakwaan Lobo yang masih tidak dibayar gaji amat mengejutkan FAP kerana pihaknya tidak mengetahuinya sama sekali dan tiada sebarang perjumpaan dilakukan bekas pemain Brazil itu.

“Ramai sudah mengetahui bahawa Lobo sudah tidak bermain bersama Pulau Pinang sejak sekian lama akibat cedera dan tempatnya telah digantikan Brandon McDonalds semasa musim perpindahan kedua.

“Kontrak dengan FAP sebagai pemain kekal sehingga 30 November tahun lalu dan segala isu akan dapat diselesaikan apabila Mesyuarat Agong FAP diadakan 17 Januari ini,” katanya ketika sidang media FAP kelmarin.

Abdul Rashid berkata, pihaknya berharap segala isu yang berlaku dapat diselesaikan dengan kadar segera di bawah kepimpinan FAP yang baru kelak.

“Segala isu berkaitan tidak perlu dipolitikkan dan boleh diselesaikan dengan cara berbincang dengan baik malah turut kesal dengan cara kepimpinan terdahulu yang bersikap lepas tangan,” katanya.

Pemain kelahiran Brazil itu didakwa telah meminta bantuan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) termasuk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menuntut bayaran gaji tertunggak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2018 @ 8:12 PM