BIBI (tiga kiri) bersama lima import yang akan memperkasa pasukan musim ini.
Attirmidzie Rahman
sukanteam@nstp.com.my

Kota Bharu: Kelantan bakal diperkuatkan 20 pemain tempatan termasuk empat dari skuad Piala Presiden dan lima pemain import bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang bakal menyingkap tirainya Februari ini.

Antara pemain yang bakal menggalas cabaran Kelantan musim ini ialah Khairul Fahmi Che Mat; Mohamad Ramadhan Abd Hamid dan Mohd Shahrizan Ismail yang bertindak selaku penjaga gawang pasukan.

Sementara posisi pertahanan menyaksikan gandingan Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim, Mohamad Azwan Arifin, Mohamad Faris Shah Rosli, Tengku Qayyum Ubaidillah, Mohd Farisham Ismail, Khairul Asyraf Ramli dan Amirizdwan Taj Tajudin.

Barisan tengah pula diterajui Mohd Badhri Mohd Radzi, Muhd Fadhilah Mohd Pauzi, S Veenod, Ahmad Sukri Ab Hamid, Shafiq Saharuddin dan Mohamad Khairul Rizam Che Soh.

Fakrul Zaman Wan Abdullah, Mohd Norfarhan Mohamad dan Muhammad Zul Fahmi Awang pula menjadi taruhan skuad Kijang Merah itu untuk mempertajam jentera serangan.

Bagi kuota import, Morgaro Lima Gomis (tengah), Do Dong Hyun (tengah), Cassio Francisco Jesus (pertahanan), Ferdinand Sinaga dan Bruno Lopes (penyerang) menjadi taruhan The Red Warriors untuk memperkuat skuad gabungan pemain muda dan berpengalaman itu.

Tiga pemain muda yang turut menjadi sandaran pasukan adalah Nik Akif Syahiran Nik Mat, Daniel Ashraf Abdullah dan Nik Azli Nik Alias yang bermain di posisi serangan serta tengah.

Pengumuman skuad penuh Kelantan itu dilakukan Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan ketika sidang media menandatangani pemain import baharu pasukan, Bruno Lopes semalam.

Bibi Ramjani berkata, pemain yang diumumkan itu secara rasmi menjadi tonggak harapan pasukan Kelantan musim ini.

“Apa yang diharapkan semua pemain ini dapat memberi yang terbaik di samping masing-masing menggalas tanggungjawab selaku pemain pasukan.

“Bagi pemain import, kita mengharapkan keserasian mereka bersama pemain tempatan ditafsirkan dengan sebaik mungkin agar mampu membantu mengukuhkan pasukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2018 @ 7:19 AM