SIVASANGARI jumpa Satomi di final kategori wanita B-19.
Devinder Singh


MALAYSIA meraih empat slot final Terbuka Remaja British di Birmingham semalam sekali gus mampu menamatkan kempen kejohanan dengan kejayaan cemerlang.

Pemain nombor dua negara, S Sivasangari mengetuai kemaraan dalam kategori wanita B-19 selepas pilihan pertama itu menewaskan pemain England, Elise Lazarus, 11-8, 11-3, 13-11 dalam aksi separuh akhir untuk menentang pemain Jepun, Satomi Watanabe di final.

Pemain adik-beradik , Aifa dan Aira Azman serta K Sehveetrraa turut mara ke final sekali gus Malaysia berpeluang cerah menyapu bersih empat kategori wanita.

Aifa juara B-13 dan B-15 di kejohanan sama pada 2014 dan 2016 kini memburu kemenangan hatrik untuk kategori B-17 dengan menentang pilihan utama dari Amerika Syarikat, Marina Stefanoni selepas menewaskan pemain Mesir, Jana Shiha, 11-7, 11-9, 11-8 di separuh akhir.

Bagaimanapun tumpuan pastinya ke arah Aira yang meneruskan kejutan dalam kategori B-15 dengan menewaskan pilihan ketiga, Katie Maliff dari England 8-11, 11-9, 6-11, 11-5, 13-11 selepas menyelamatkan dua mata akhir di set penamat.

“Cukup sukar. Saya ketinggalan 2-1 dan berjaya menyamakannya tetapi di set akhir saya ketinggalan 8-10. Saya kekal positif dan berjaya mengubah rentak dan akhirnya mara ke final,” kata Aira yang akan menentang pilihan kedua, Sana Ibrahim dari Mesir.

Sehvetrraa pula akan menentang Fayrouz Abouelkheir dari Mesir bagi kategori bawah 13 tahun selepas melakar kejutan menewaskan pilihan kedua kejohanan, Malak Taha juga dari Mesir 11-8, 11-5, 11-7.

Sementara itu, Whitney Wilson gagal meneruskan kemaraan dalam kategori B-11 selepas ditewaskan pilihan utama dari Mesir, Amina Orfi 11-3, 11-2, 11-1.

Amir Amirul Azhar turut tewas kepada pemain India, Neel Joshi 12-10, 11-9, 5-11, 3-11, 11-8 dan M Nickhileswar kecundang di tangan pemain Mesir, Mohamed Zakaria 11-7, 11-7, 11-4 dalam aksi separuh akhir lelaki bawah 11 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2018 @ 1:19 PM