JOHNSON lakar kemenangan dengan lapan pukulan. FOTO/AFP
AFP

LOS ANGELES: Pemain nombor satu dunia Dustin Johnson melakar kemenangan lapan pukulan pada Kejohanan Juara-Juara dalam Jelajah PGA AS di Hawaii, awal pagi tadi.

Persembahan mantap Johnson dari kotak tee di Plantation Course di Kapalua termasuk percubaan hampir hole-in-one di lubang ke-12 par empat yang mana pukulannya singgah enam inci untuk catatan eagle.

Dia merakam lapan bawah par 65 bagi keseluruhan 24 bawah par 268 dan kejuaraan ke-17 dalam Jelajah PGA AS, kelihatan tidak tergugat dengan angin dan hujan sekejap-sekejap sepanjang pusingan itu.

“Saya sedar bermain dengan amat baik dan ia lapangan golf yang mana saya mempunyai keyakinan,” kata Johnson.

“Saya memukul bola dengan bagus minggu ini,” ujar pemain Amerika Syarikat itu yang menggunakan driver baru. “Saya tahu selagi saya boleh melakukannya, saya akan bermain dengan baik sekali.”


JOHNSON bersama trofi dimenangi. FOTO/AFP

Pemain muda Sepanyol, Jon Rahm di tangga kedua selepas 69 bagi 276 dan dijangka melonjak dari nombor empat ke ranking ketiga dunia susulan pencapaian naib juara itu.

Brian Harman, yang memulakan saingan dua pukulan di belakang Johnson, berakhir dengan satu bawah par 72 sekali gus menghuni tangga ketiga dengan 277.

Satu pukulan lagi di belakang adalah pemain Jepun, Hideki Matsuyama (66) dan dua pemain AS, Pat Perez (69) dan Rickie Fowler (70).

Bagi Johnson, kemenangan dengan perbezaan lapan pukulan itu adalah yang terbesar dalam kariernya.

Johnson, yang menghuni ranking nombor satu dunia Februari lalu, kini menang sekurang-kurangnya satu kejuaraan dalam jelajah AS buat tahun ke-11 berturut-turut.

“Jelas sekali saya bermula dengan hebat dan mahu meneruskannya,” kata Johnson mengenai acara pertamanya tahun ini. “Semuanya menuju ke arah yang betul.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 12:55 PM