Pegawai Eksekutif Teknikal dan Penyelarasan Sukan Sekretariat Kuala Lumpur 2017, Ramlay ketika Mesyuarat Pemilihan Jawatankuasa Majlis Olimpik Malaysia untuk Sukan Komanwel XXI dan Sukan Asia ke-18. Foto SADDAM YUSOFF
Jumiati Rosly


SKUAD berbasikal negara menyenaraikan Ju Pha Som Net bagi melengkapkan 14 senarai pelumba akan dihantar ke Sukan Komanwel di Gold Coast pada April ini.

“Kita sudah dapat senarai akhir dengan 14 pelumba basikal dan lima pegawai sudah diputuskan akan ke Sukan Komanwel.

“Kami memohon tambahan buat Ju Pha tadi dan juga memutuskan lima nama pelumba yang akan mewakili negara dalam acara kejar mengejar berpasukan lelaki kerana sebelum ini kita menyenaraikan enam nama dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hanya meluluskan lima nama,” kata pengurus pasukan berbasikal negara, Ramlay Ibrahim.

Ramlay berkata demikian selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan MOM di Wisma MOM, di sini, hari ini.

Berbanding senarai lama, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF) menggugurkan Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff dan hanya menyenaraikan Irwandie Lakasek, Eiman Firdaus Mohd Zamri, Afiq Huznie Othman, Muhammad Daniel Haikkal Edy Suhaidee dan Muhammad Nur Aiman Rosli untuk bertanding dalam acara kejar mengejar berpasukan.

Ramlay berkata, cabaran skuad berbasikal negara akan diketuai jaguh keirin dunia, Azizulhasni Awang yang akan menyertai acara pecut dan keirin bagi memenuhi sasaran untuk memenangi pingat emas.

Untuk rekod, pada temasya lalu di Glasgow, skuad negara sekadar menghantar lapan pelumba dengan menghadiahkan sebutir gangsa daripada Azizulhasni dalam acara keirin.

Selain The Pocketrocketman dan juga lima pelumba kejar mengejar berpasukan, skuad negara turut dibarisi Shah Firdaus Sahrom, Muhammad Fadhil Zonis, Muhammad Shariz Efendi Mohd Shahrin, Muhammad Khairil Nizam Rasol yang menjalani latihan bersama ketua jurulatih negara, John Beasley di Melbourne.

Fatehah Mustapa pula mengetuai senarai empat pelumba wanita bersama Farina Shawati Mohd Adnan, Anis Amira Rosidi dan Ju Pha.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 2:41 PM