HOGE catatan keseluruhan 16 bawah par 194 meletakkannya satu pukulan di depan pendahulu semalaman Brian Harman
AFP

LOS ANGELES: Tom Hoge merampas kedudukan sebagai pendahulu selepas pusingan ketiga Terbuka Sony awal pagi tadi selepas pemain Jelajah PGA AS mengatasi perasaan panik berikutan amaran serangan peluru berpandu dan meneruskan saingan mereka di Hawaii.

“Sudah tentu, mendapat ancaman peluru berpandu dalam telefon anda, anda tidak tahu apa akan berlaku,” kata Hoge mengenai kebimbangan awal pagi itu.

Penerima amaran itu digesa mencari tempat perlindungan dan lebih sejam setengah berlalu sebelum pihak berkuasa mengesahkan amaran itu adalah satu kesilapan.

Namun Hoge, graduan daripada Jelajah Web.com berusia 28 tahun yang memburu kejuaraan sulung Jelajah PGA AS, tidak menggambarkan sebarang kebimbangan apabila dia melakukan pusingan tanpa bogey enam bawah par 64 di Waialae, Honolulu.

Catatan keseluruhan 16 bawah par 194 meletakkannya satu pukulan di depan pendahulu semalaman Brian Harman, yang mencatat 68 dan Patton Kizzire yang melonjak dalam senarai pendahulu dengan 64 bagi 195.

Pemain Amerika Syarikat, Kyle Stanley berseorangan di tangga keempat selepas 65 bagi 196 diikuti rakan senegaranya Chris Kirk yang melakar 67 bagi 197.

Enam birdie Hoge termasuk tolakan masuk dari jarak 40 kaki di lubang ke-17. Dia meraih kedudukan pendahulu secara bersendirian dengan birdie dari buting pasir berdekatan green pada lubang ke-18 par-lima.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 8:51 PM