IHEANACHO (kiri) jaring gol kedua Leicester namun dibatalkan sebelum pengadil menggunakan VAR untuk sahkan jaringan penyerang itu. -Foto Reuters
IHEANACHO (kiri) jaring gol kedua Leicester namun dibatalkan sebelum pengadil menggunakan VAR untuk sahkan jaringan penyerang itu. -Foto Reuters
AFP

LONDON: Leicester City melakar sejarah dalam bola sepak Inggeris sebagai pasukan pertama mendapat faedah sistem video bantuan pengadil (VAR) selepas teknologi ulang tayang itu digunakan bagi menghadiahkan gol kedua ketika menang 2-0 ke atas Fleetwood Town dalam Piala FA Inggeris, sebentar tadi.

Apabila penyerang Leicester, Kelechi Iheanacho meluru menyambut hantaran Riyad Mahrez untuk meledak gol pada minit ke-77 perlawanan ulangan pusingan ketiga itu, jaringannya pada awalnya dibatalkan kerana ofsaid.

Namun selepas dihentikan sementara ketika gerakan serangan itu dianalisis dengan bantuan VAR, keputusan itu diubah - ulang tayang menunjukkan pemain Nigeria, Iheanacho berada dalam kedudukan tidak ofsaid - dan pengadil Jon Moss menghadiahkan gol.

Sistem VAR digunakan kali pertama di England awal bulan ini bagi aksi pusingan ketiga Piala FA antara Brighton dengan Crystal Palace dan separuh akhir pertama Piala Liga antara Chelsea dan Arsenal.

Bagaimanapun, ini kali pertama ia digunakan untuk mengubah keputusan awal.

“Saya tidak tahu sama ada saya berada dalam kedudukan ofsaid atau tidak tapi saya bersetuju sepenuhnya bahawa saya berada dalam kedudukan tidak ofsaid,” kata Iheanacho.

“Saya hanya menumpukan terhadap gol, saya tidak memikirkan jika saya tidak ofsaid atau ofsaid tapi Riyad memberitahu saya tidak ofsaid.

“Kami hanya menunggu untuk melihat apa keputusannya.”

Bekas pemain remaja Manchester City, Iheanacho terdahulu meletakkan Leicester di depan pada minit ke-43 di Stadium King Power, meluru menyambut umpanan Islam Slimani sebelum merembat masuk.

Hasil kemenangan ke atas kelab divisyen tiga itu, Leicester akan berkunjung ke Peterborough bagi aksi pusingan keempat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2018 @ 7:04 AM
Digital NSTP Subscribe