ABDUL Malik (tengah) cubaan menanduk ke gawang gol sambil diasak pemain Terengganu FC II, Aris Fadzillah (kiri). -Foto GHAZALI KORI
Faizul Azlan Razak


TERENGGANU FC I (TFCI) muncul juara selepas menundukkan pasukan ‘adik’, TFC II 4-2 dalam perlawanan akhir kejohanan empat penjuru merebut Piala Menteri Besar Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

TFC I yang menurunkan kesebelasan utama mereka hampir di depan seawal minit kelima, namun penjaga gol, Mohd Shamirza Yusoff berjaya menepis keluar bola sepakan percuma yang diambil Lee Andrew Tuck.

Namun, TFC II yang merehatkan skuad utama mereka mempamerkan aksi melawan dan peluang terbaik hadir menerusi percubaan Muhammad Aliff Fitri Jefri yang diselamatkan penjaga gol TFC I, Mohd Suffian Abd Rahman empat minit berselang.

Peluang terbaik TFC I hadir pada minit ke-15, namun Abdul Malik Mat Arif gagal menjaringkan gol apabila menyepak tinggi bola hantaran lintang Tchetche Kipre.

Begitupun, penjaring terbanyak pemain tempatan Liga Perdana musim lalu itu tidak mempersiakan peluang kedua apabila mudah menolak masuk menewaskan Mohd Shamirza seminit selepas itu.

TFC I melebarkan jaringan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Kipre selepas dia dijatuhkan kapten TFC II, Mohd Hassan Basri pada minit ke-35.

Bersambung babak kedua, Mustaffa Kamal Abd Wahab membawa masuk empat awang importnya bagi mengimbangi permainan.

Namun, anak buah Irfan Bakti Abu Salim terus mengukuhkan kedudukan menerusi ‘Messi Terengganu’, Mohd Faiz Mohd Nasir pada minit ke-64.

Pada minit 67, Kipre meledak gol peribadi kedua dalam perlawanan itu dengan melakukan larian solo yang gagal dikejar pertahanan TFC II, Muhammad Mohd Faudzi sebelum melepaskan rembatan kencang menewaskan Mohd Shamirza.

TFC II berjaya memperoleh jaringan menerusi penyerang importnya, Bruno Junichi Suzuki minit ke-72 sebelum Akanni Sunday Wasiu melepaskan rembatan ke penjuru kanan menewaskan Mohd Suffian minit ke-88.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman yang turut menyaksikan perlawanan akhir menyampaikan piala kejuaraan kepada TFC I.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2018 @ 12:13 AM