MELAKA (jersi hijau) ketika menentang Terengganu FC II, dalam Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru Piala Menteri Besar Terengganu 2018 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak. FOTO/GHAZALI KORI
MELAKA (jersi hijau) ketika menentang Terengganu FC II, dalam Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru Piala Menteri Besar Terengganu 2018 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak. FOTO/GHAZALI KORI
Nazri Abu Bakar


SKUAD Melaka United bakal berdepan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC pada aksi persahabatan di Stadium Hang Tuah malam esok dalam usaha mengukuhkan pasukan sebelum tirai Liga Super 2018 disingkap, bulan depan.

Sebelum perlawanan persahabatan itu, Ketua Menteri Melaka yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) Datuk Seri Idris Haron akan memperkenalkan pemain dan melancarkan jersi baru pasukan.

Setiausaha Agung MUSA, Noor Azman Rahman berkata, tiada bayaran masuk dikenakan kepada peminat bola sepak untuk menyaksikan majlis berkenaan.

Menurutnya, semua 25 pemain yang mengikat kontrak termasuk import akan diperkenalkan kepada penyokong skuad Hang Tuah.

Katanya, Idris akan turut melancarkan buku ‘Inspirasi Bola Sepak Melaka’ yang memuatkan pencapaian pasukan bola sepak negeri itu.

“Kami yakin perlawanan persahabatan terbabit bakal berlangsung sengit sekali gus memberi peluang peminat setia untuk menilai kemampuan pasukan.

“Justeru, kami mengharapkan skuad terbabit mampu menampilkan prestasi sebenar selepas pulang dari menyertai Piala Menteri Besar Terengganu, baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata, perlawanan dijangka berlangsung jam 9.30 malam sebaik majlis pengenalan pemain dan pelancaran jersi berakhir.

Noor Azman berkata, skuad terbabit bakal menggunakan jersi jenama Warrix keluaran syarikat Thailand bagi musim 2018 dan 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2018 @ 3:44 PM