X
FEDERER (kiri) berjabat tangan dengan Berdych selepas menewaskan musuh lamanya dengan kemenangan tiga set . FOTO Reuters
FEDERER (kiri) berjabat tangan dengan Berdych selepas menewaskan musuh lamanya dengan kemenangan tiga set . FOTO Reuters
AFP

Melbourne: Juara bertahan Roger Federer melakar rekod layak ke separuh akhir Terbuka Australia kali ke-14 dengan kemenangan tiga set ke atas musuh lama Tomas Berdych, semalam.

Pilihan kedua itu menang 7-6 (7/1), 6-3, 6-4 dalam masa dua jam 14 minit di Arena Rod Laver dan akan berdepan pemain bukan pilihan dari Korea Selatan, Chung Hyeon esok bagi merebut tempat ke final.

Juara Grand Slam 19 kali itu, yang tidak kalah dalam lima perlawanan menentang Berdych di Melbourne, akan beraksi bagi separuh akhir Grand Slam kali ke-43, satu rekod dalam era Terbuka sejak 1968.

Bintang legenda Switzerland itu belum pernah bertemu Chung, yang mengatasi juara enam kali Novak Djokovic dan pemain nombor empat dunia Alexander Zverev untuk melangkah ke separuh akhir.

Kemenangan terbaru Federer adalah kali ke-92 dalam 105 perlawanan di Melbourne untuk menjadikan Terbuka Australia sebagai Grand Slam terbaiknya dari segi perlawanan dimenangi di samping Wimbledon.

“Saya gembira melepasi set pertama. Ia ternyata menjadi kunci perlawanan itu,” kata Federer.

“Tomas bermain baik dalam beberapa set awal. Saya fikir dalam set ketiga dia merudum sedikit.

“Ia set pertama yang menyukarkan. Mungkin boleh menjadi sebaliknya. Mujur saya berjaya mencurinya.”

Federer kini menang 14 daripada 14 aksi suku akhir di Melboune dan belum lagi kalah sebarang set pada kejohanan kali ini.

Mengenai pertembungan separuh akhir dengan Chung, Federer berkata: “Pergerakannya amat menakjubkan, dia mengingatkan saya terhadap Novak dengan keupayaan pukulan forehand dan backhand serta menggunakan gelanggang keras seperti gelanggang tanah liat.

“Dia akan membalas setiap pukulan dan kekal agresif secara bertahan, jadi saya amat teruja untuk menentangnya, dia tidak bimbang jika kalah, jadi saya akan mengingatkan diri sendiri perkara sama dan anda tunggu apa yang akan berlaku.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2018 @ 2:13 AM