HAFIFI MANSOR
Fadhli Ishak


PERSEKUTUAN Angkat Berat Malaysia (MWF) masih belum mendapat keputusan rasmi daripada Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) mengenai penggantungan atlet kebangsaan, Hafifi Mansor.

Dalam kes yang berlarutan agak lama itu, pemangku setiausaha MWF Abu Hanapah Ismail mendedahkan badan induk itu sudah berhubung beberapa kali dengan IWF berkaitan penggantungan itu.

“Presiden MWF (Datuk Ong Poh Eng) sudah dua kali membawa perkara itu kepada IWF, sekali ketika Kejohanan Dunia di Amerika Syarikat (pada November) dan awal bulan ini. Kami masih belum mendapat apa-apa,” kata Abu Hanapah.

“Kami perlu tahu berapa lama penggantungan itu sebelum kami boleh meneruskan tindakan seterusnya. Kami tidak boleh membuat keputusan atau mengenakan penggantungan sendiri.

“Jika keputusan oleh IWF (mengenai had penggantungan) dibuat dan Hafifi tidak berpuas hati, dia boleh merayu kepada IWF menerusi kami (MWF). Kami hanya perlu menunggu“

Pemenang pingat emas Sukan Komanwel Glasgow 2014 itu diuji positif menggunakan anabolic steroid oxymetholone pada Terbuka Australia di Melbourne Mac tahun lalu.

Bagaimanapun keputusan positif itu hanya diberitahu tujuh bulan selepas itu iaitu pada Oktober apabila IWF mengumumkan mereka menggantung sementara Hafifi di laman sesawang mereka.

Atlet kelahiran Terengganu itu juga gagal sampel B dan tampak akan dikenakan penggantungan empat tahun kerana oxymetholone ialah bahan perangsang untuk meningkatkan prestasi yang dipandang serius oleh Agensi Anti-Doping Dunia.

Atlet berusia 27 tahun itu yang mendakwa dia disabotaj, perlu mengemukakan bukti kukuh untuk merayu bagi penggantungan lebih pendek atau akan tersisih ketika kemuncak kariernya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2018 @ 5:18 PM