PEMAIN Perak menjalani latihan bagi menghadapi saingan Liga Super 2018 di Padang Pernama, Ipoh. FOTO/ABDULLAH YUSOF
Azizan Hashim


KEUPAYAAN skuad The Bos Gaurus memang tidak perlu dipertikaikan kerana pasukan ini cukup unik dan memiliki reputasi tersendiri.

Ketika ini, Perak masih gah dengan rekod sendiri sebagai satu-satunya pasukan yang belum pernah tersingkir dari Liga Super sejak diperkenalkan mulai 2004.

Namun, di sebalik kejayaan itu, Perak sebenarnya dipalit kekecewaan kerana sehingga kini masih belum mengecapi sebarang kejuaraan Liga Super.


INFO GRAFIK HARIAN METRO

Atas sebab itulah, pengendali pasukan, Mehmet Durakovic terus diberi kepercayaan untuk mengemudi Perak menamatkan kemarau dan mencapai impian menjulang trofi Liga Super.

Setakat ini, pencapaian terbaik Perak adalah menghuni tempat kedua pada musim 2007.

Bagi musim 2018, skuad yang berpangkalan di Ipoh ini dilihat melakukan persiapan rapi untuk memantapkan pasukan.

“Sudah terlalu lama Perak tidak memenangi apa-apa gelaran. Saya berharap dapat menamatkan kemarau itu musim ini,” kata Durakovic.


PERAK sedang merencana strategi menghadapi musim baru.

Sehubungan itu, jurulatih yang mempunyai rekod cemerlang ketika mengendalikan Selangor pada 2014 hingga 2016 menetapkan sasaran utama musim 2018 ialah untuk memburu minimum satu trofi.

Durakovic mengekalkan hampir sebahagian besar pemain skuad musim lalu yang berjaya mara ke separuh akhir Piala Malaysia dan menamatkan saingan Liga Super di tempat kelima.

Hanya kelibat Muhammad Shahrom Abdul Kalam, Thiago Junio De Aquino, Yashir Armando Pinto Islame dan Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak yang tidak lagi bersama Perak.


PERAK mempunyai barisan pemain mantap musim ini.

Manakala dua pemain import kelahiran Brazil, Leandro Dos Santos Oliveira dan Gilmar Jose Da Silva Filho dikekalkan untuk menggalas tanggungjawab musim ini.

Durakovic mendapatkan khidmat tiga pemain import baru iaitu Wander Luiz Bitencourt Junior (Brazil), Misagh Medina Bahadoran (Filipina) dan Robert Cornhwaite (Australia) bagi memperkasa pasukan Yob.

Perak juga mendapatkan khidmat tiga pemain tempatan iaitu Brendan Gan, Norhakim Hassan dan Rafiuddin Roddin untuk memperkuatkan pasukan.


DURAKOVIC (baju merah) tekad bawa trofi kepada Perak.

“Cornhwaite mampu memainkan peranan besar dalam pasukan. Dengan pengalaman yang dimilikinya, diharap dia mampu mengemudi Perak sepanjang kempen kali ini,” kata Durakovic.

Ketika ini, beliau mengakui pemainnya mula menunjukkan keserasian dan persefahaman tinggi dalam menyerap taktikal serta corak permainan yang dikehendaki sekaligus memudahkan untuk merancang strategi terbaik ketika berkunjung ke Pahang bagi aksi pembukaan.


SESI perkenalan pemain Perak.

Bagaimanapun, jurulatih itu tetap realistik terhadap kemampuan anak buah kerana menyedari keupayaan pasukan lain seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah, Pahang dan Selangor yang turut melakukan persiapan rapi.

“JDT adalah pasukan lengkap dan seimbang. Mereka memiliki pemain import dan pemain tempatan berwibawa. Begitu juga Kedah, Pahang, Selangor. Semua pasukan perlu diberi perhatian kerana telah membuat persiapan rapi,” katanya.

Apa kata mereka:


NASIR BASHARUDDIN (dua dari kanan)

Kapten (Nasir Basharuddin) “kami akan berusaha memenuhi sasaran PAFA merangkul satu piala kali ini. In Sha Allah dengan pemain yang ada kami boleh lakukannya.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2018 @ 10:00 AM