PERTAHANAN Sepanyol, Pique menandatangani kontrak lanjutan untuk bersama Barca sehingga 2022. Foto AFP
Reuters

BARCELONA: Pertahanan Barcelona dan Sepanyol, Gerard Pique menandatangani kontrak lanjutan hingga 2022 yang akan menyaksikanya terus berada di kelab itu selepas ulang tahun ke-35, menurut kelab La Liga itu hari ini.

“Saya benar-benar gembira dapat meraikan kontrak lanjutan kerana ini rumah saya dan sejak kembali, keinginan saya adalah untuk menamatkan karier di sini,” kata Pique yang akan mewakili kelab itu selama 14 tahun sebagai pemain profesional sebaik kontraknya tamat.

Pique memulakan kariernya bersama skuad remaja Barca sebelum menyertai Manchester United pada 2004 namun kemudiannya kembali ke Nou Camp empat tahun kemudian dan sejak itu beraksi dalam 250 perlawanan liga.

“Satu hari istimewa, Gerard Pique pemain berpengalaman, peminat Barca sejak lahir dan kami berharap dapat terus memenangi trofi. Ia satu rundingan yang mudah,” kata presiden Barca, Josep Maria Bartomeu pada sidang media.

Pique turut menyatakan menerusi laman web kelab (www.fcbarcelona.com) bahawa tidak muncul persoalan dia bermain di tempat lain.

“Saya hanya melihat diri saya menyarung jersi Barca. Jika saya tidak melanjutkan kontrak, mungkin saya akan berhenti bermain kerana saya hanya bermain bola demi Barca,” katanya.

Pique menjulang tiga gelaran Liga Juara-Juara, enam La Liga selain lima Piala Raja Sepanyol, lima Piala Super Sepanyol, dua Piala Super Eropah dan tiga trofi Piala Kelab Dunia FIFA bersama Barca.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2018 @ 11:07 AM