KLOPP meraikan kejayaan Liverpool melakar kemenangan ke atas Huddersfield Town. Foto Reuters
KLOPP meraikan kejayaan Liverpool melakar kemenangan ke atas Huddersfield Town. Foto Reuters
AFP

HUDDERSFIELD, United Kingdom: Jurgen Klopp yakin Liverpool kini kembali berada di landasan yang betul selepas kemenangan 3-0 ke atas Huddersfield Town awal pagi tadi.

Perjalanan Liverpool musim ini terbantut apabila tewas kepada pasukan bergelut dalam kancah Liga Perdana Inggeris, Swansea dan tersingkir daripada saingan Piala FA di tangan West Bromwich Albion baru-baru ini.

Bagaimanapun skuad kendalian Klopp memastikan tiga mata penuh di Stadium John Smith hasil jaringan babak pertama Emre Can dan Roberto Firmino sebelum Mohamed Salah menyempurnakan sepakan penalti lewat permainan.

Liverpool mengukuhkan kedudukan di tangga keempat liga dan mempunyai kelebihan lima mata ke atas penghuni tangga kelima Tottenham, yang akan berdepan Manchester United awal pagi nanti, dalam perebutan tiket ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.

“Kembali di landasan betul adalah perkara yang paling penting,” kata Klopp. “Dan sekarang kami mempunyai beberapa hari untuk bersiap menghadapi satu lagi perlawanan sukar menentang Tottenham.

“Itulah reaksi yang perlu kami tunjukkan. Ia tidak sehebat mana, bukan permainan terbaik pernah kami tampilkan tetapi ia mencukupi.

“Saya rasa perkara paling baik kami lakukan selain menjaringkan gol ialah asakan balas dan situasi bertahan kami apabila Huddersfield memenangi bola.

“Kami mempunyai banyak peluang berbanding tiga gol tetapi ia sukar untuk dimanfaatkan kerana mereka bertahan dengan baik. Ia persembahan yang matang dan apa yang diperlukan pada saat getir.”

Kapten Liverpool John Henderson membuat penampilan pertamanya sejak Disember dan Klopp berpuas hati dengan persembahan perancangnya itu.

Klopp turut memuji sikap profesional ditunjukkan Can, yang kontraknya akan berakhir di penghujung musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2018 @ 12:34 PM