Aubameyang kini bersama Arsenal selepas tinggalkan Dortmund. FOTO EPA
Mirror

PIERRE-Emerick Aubameyang dituduh enggan bermain sepenuh hati untuk Borussia Dortmund kerana mahu memberi tekanan kepada kelab itu untuk berhijrah ke Arsenal.

Aubameyang melengkapkan perpindahan bernilai £56j (RM306 juta) daripada kelab Bundesliga itu ke Gunners pada hari terakhir jendela perpindahan ditutup selepas sebulan mencuba.

Penyerang Gabon itu digantung oleh kelab Jerman terbabit musim lalu kerana melanggar peraturan dengan berkunjung ke Milan sebelum dia sekali lagi dikenakan penggantungan kerana gagal menghadiri mesyuarat pada Januari lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Dortmund Hans-Joachim Watzke jelas menyalahkan Aubameyang kerana tidak memanfaatkan bakatnya dan keluar meninggalkan Dortmund dengan cara sama digunakan Ousmane Dembele mendapatkan perpindahan musim panas ke Barcelona.

Aubameyang meminta maaf dengan kelakuannya itu melalui kiriman Instagram dengan menulis: "Pertama kali saya minta maaf atas segala galanya terhadap apa yang berlaku bulan lalu."

Watzke bagaimanapun menegaskan dia tidak akan mempertahankan mana mana pemain yang melakukan mogok terhadap kelabnya itu.

Dia memberitahu FAZ: "Khamis lalu, saya menetapkan garis panduan terhadap skuad itu dan pemain yang melakuan tindakan sama selepas ini akan menemui kegagalan.

"Mereka semua menyedari perkara itu. Mereka akan berdepan masalah. Pemain selepas ini yang cuba memberi tekanan kepada kami atau cuba melakukan mogok tidak akan mendapat pas dan akan duduk tempat penonton.

“Itu adalah kenyataan umum sekarang. Selepas penghijrahan Dembele dan Aubameyang, terdapat minat terlalu tinggi terhadap kelab ini dan kami perlu merangka struktur lebih baik untuk skuad kami semula.

"Aubameyang komited bersama kami musim ini sebagai reaksi kepada perpindahan Dembele.

"Kami juga terhutang budi kepadanya kerana memilih untuk menyertai kami pada 2016 dan menolak banyak tawaran mewah ketika Mats Hummels, Ilkay Gundogan dan Henrikh Mkhitaryan meninggalkan kelab ini."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2018 @ 12:43 PM