TUNKU Ahmad (belakang, enam dari kiri) bersama penaja semasa pelancaran Kejohanan Ragbi Premier Sevens MCKK, semalam.
Fadhli Ishak

Kuala Lumpur: Kejohanan ragbi Premier Sevens Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) akan sekali lagi menampilkan bakat sekolah terbaik Malaysia pada kejohanan edisi kelapan di Kuala Kangsar dari 23 hingga 25 Februari ini.

Juara bertahan, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) yang juga juara empat kali, akan sekali lagi bersaing dengan jaguh handalan termasuk Sekolah Antarabangsa Australia dari Singapura selain pasukan baharu, Maktab Tentera Diraja dan SMS Tuanku Ja’afar, Negeri Sembilan.

Presiden Persatuan Murid-Murid Tua Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCOBA), Tunku Datuk Ahmad Burhanuddin Tunku Adnan menjangkakan satu lagi kejohanan yang amat kompetitif.

MCKK berharap akan muncul juara di laman sendiri sekali lagi dengan kejayaan tunggal mereka dalam Premier Sevens hadir pada 2013.

“Ini kejohanan penting bukan hanya buat MCKK, tapi juga ragbi Malaysia secara umum ketika sekolah terbaik hadir untuk bersaing bersama pasukan handalan antarabangsa,” kata Tunku Ahmad ketika pelancaran kejohanan itu, di sini, semalam.

“Jelas pasukan ragbi MCKK sentiasa mahu menjadi lebih baik jadi kami akan meningkatkan permainan kami.

“Melihat apa yang berlaku sejak separuh dekad lalu (sejak kali terakhir MCKK menang) ia jelas menyedihkan, tapi apabila anda tewas kepada pasukan lebih baik ia OK dan kami kembali berbincang dan cuba memperbaiki pasukan setiap tahun.

“Pendekatan ini meningkatkan semua pasukan yang bersaing dalam kelas Premier Sevens yang menjadi tempat melahirkan bakat ragbi Malaysia dan pemimpin negara (menerusi pembinaan karakter). Setiap pasukan akan cuba meningkatkan permainan mereka.”

Pengarah kejohanan Amrul Hazarin bagaimanapun menyatakan Sekolah Sukan Hong Kong, yang menyertai kejohanan itu sejak beberapa tahun lalu, terpaksa menarik diri kerana perlu memberi tumpuan kepada kelayakan kejohanan dunia.

Pasukan dari Melaka dan Sabah juga tidak hadir kerana terbabit dalam kejohanan peringkat negeri.

Unifi, jenama di bawah Telekom Malaysia adalah penaja utama Premier Sevens yang turut disokong Kementerian Pendidikan, Kementerian Belia dan Sukan selain Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2018 @ 9:01 AM