JAENYONG (kanan) menjaringkan gol ketika bertemu PDRM dalam saingan Liga Perdana di Stadium Likas. -Foto MALAI ROSMAH TUAH
Ryan Stanley

WALAUPUN tidak mempamerkan aksi terbaik, pengendali Sabah, Jelius Ating tetap gembira selepas skuad bimbingannya menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2-0 dalam perlawanan ketiga Liga Perdana di Stadium Likas, di sini, malam tadi.

Jurulatih berusia 47 tahun itu, berkata anak buahnya kelihatan sedikit keletihan sehingga gagal mengekalkan penguasaan bola, terutama di bahagian tengah.

“Ini sebenarnya salah satu faktor (kelihatan), kita terpaksa harungi jadual perlawanan yang padat, malah hanya memiliki masa singkat untuk persiapan sebelum bertemu PDRM.

“Bagaimanapun, saya memuji mereka kerana berjuang habis-habisan sehingga mencapai kemenangan dan itu sebenarnya yang paling penting iaitu mengutip mata penuh di gelanggang sendiri.

“Kadang-kala ada pasukan bermain dengan baik tetapi tidak menang dan ada masa juga kita tidak bermain baik tetapi menang,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan itu.

Pada aksi malam tadi, Sabah mengekalkan rentak baik mereka di Stadium Likas apabila membenam PDRM 2-0 hasil jaringan Maxsius Musa pada minit ke-16 dan Heo Jaenyong di minit ke-67.

Sementara itu, Jelius berkata, dua pemainnya iaitu Maffry Balang dan Maxsius yang terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan malam tadi mampu beraksi pada perlawanan seterusnya.

“Kita juga lega kerana aksi seterusnya hanya akan berlangsung kira-kira dua minggu dari sekarang, ini membolehkan pemain mendapat rehat yang cukup selepas jadual padat dalam tiga perlawanan.

“Saya juga akan mengambil masa rehat panjang ini untuk memantapkan lagi pasukan dan mengatasi beberapa kelemahan,” katanya.

Setakat tiga perlawanan, Sabah kini mengutip tujuh mata hasil dua kemenangan dan sekali seri.

Pasukan yang popular dengan jolokan Sabah Rhinos itu akan meneruskan saingan liga bertemu Sarawak di Stadium Likas, pada 24 Februari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2018 @ 12:26 PM