RONALDO jaring gol melepasi penjaga gol Sociedad Geronimo Rulli. -Foto REUTERS
AFP

MADRID: Cristiano Ronaldo meledak hatrik bagi membantu Real Madrid melakar kemenangan bergaya 5-2 ke atas Real Sociedad dalam saingan Liga Sepanyol di Santiago Bernabue, di sini, semalam.

 Kemenangan itu disifatkan tonik terbaik buat skuad Los Blancos menjelang pertembungan dengan Paris Saint-Germain (PSG)  dalam aksi pusingan kalah mati Liga Juara-Juara, awal pagi Khamis ini, waktu Malaysia.

  Ronaldo membuktikan sentuhannya kekal berbisa apabila meledak gol pada minit ke-27, 37 dan 80. Ia adalah gol ke-11 dalam saingan liga musim ini dengan tujuh dihasilkan dalam empat perlawanan terakhir.

  Skuad kendalian Zinedine Zidane itu sebelum ini bergelut dengan prestasi tidak menentu tetapi aksi dipamerkan mereka dalam perlawanan berkenaan dianggap tepat pada masanya untuk berdepan dengan kelab PSG biarpun dilihat masih belum sempurna.

  Real tidak menunggu lama untuk mendahului perlawanan apabila Lucas Vazquez membuka tirai jaringan seawal minit pertama dan pasukan itu menambah empat  lagi gol untuk melengkapkan kemenangan.


RONALDO meraikan gol kelima Real sekali gus melengkapkan hatriknya bersama Gareth Bale. -Foto Reuters

  Toni Kroos turut mencipta nama sebagai penjaring dalam perlawanan itu yang menyaksikan Real merekodkan tiga kemenangan dan satu seri dalam empat perlawanan terakhir liga dengan 18 gol berjaya dijaringkan.

 Kelalaian benteng pertama pada penghujung perlawanan membolehkan pasukan pelawat menjaringkan dua gol dan jelas ia sesuatu yang membimbangkan buat Zidane.

 Real masih ketinggalan 16 mata di belakang pendahulu liga yang masih belum pernah tewas, Barcelona tetapi mereka kini melonjak ke tangga ketiga liga mengatasi Valencia yang akan beraksi menentang Levante, hari ini.

 Dengan kunjungan ke PSG menjadi keutamaan, Zidane merehatkan dua tonggaknya, Gareth Bale dan Casemiro bagi membolehkan Marco Asensio serta Lucas Vazquez diturunkan.

 Sementara itu, Antoine Griezmann menjadi penjaring terpantas menjaringkan gol dalam perlawanan pada Sabtu apabila dia hanya memerlukan 39 saat untuk meledak gol sekali gus membantu Atletico Madrid menewaskan Malaga 1-0.

 Ia adalah gol kelapan buat penyerang antarabangsa Perancis itu dalam saingan liga musim ini.

  “Kami tahu ia akan menjadi perlawanan yang sukar tetapi ini adalah perlawanan yang kami mahu bermain. Kini, kami perlu terus berjuang dan bekerja keras sekali gus cuba untuk memenangi semua baki perlawanan kami,” kata Griezmann.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2018 @ 9:44 AM