PEMAIN FELCRA FC, Anselmo Arruda Da Silva (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika menewaskan Sarawak 3-2 pada aksi Liga Perdana di Stadium Negeri Kuching, Sarawak. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
Oleh Haika Khazi


PENGENDALI FELCRA FC, Tarcisio Pugliese Barbulio, memuji aksi hebat awang importnya, Anselmo Arruda da Silva yang melakukan hatrik dalam masa lima minit terakhir ketika membantu The Rival menjinakkan Sarawak 3-2 pada aksi Liga Perdana di Stadium Negeri Kuching, Sarawak, malam tadi.

Barbulio menyifatkan tiga gol dihasilkan da Silva atau lebih dikenali sebagai 'Casagrande' pada minit ke-87 dan dua gol pada masa kecederaan itu bukan hanya sekadar membantu FELCRA FC meraih kemenangan berharga, malah amat menakjubkan.

"Bagaimanapun, ketika ketinggalan 2-0, saya memberitahu pemain FELCRA FC supaya terus berusaha kerana kita tidak boleh gagal hari ini (semalam) kerana sudah memberikan aksi terbaik.

“Akhirnya mereka berjaya melakar sejarah jaringan hatrik pertama dalam masa lima minit terakhir perlawanan," kata Barbulio dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Kemenangan berkenaan membolehkan The Rival menduduki tangga keempat Liga Perdana di belakang Sabah, FELDA United dan UiTM FC selepas seri 1-1 dalam aksi menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah di Stadium Shah Alam masing-masing pada 2 dan 6 Februari lalu.

Dalam pada itu, Barbulio mengingatkan anak buahnya supaya terus mempamerkan aksi cemerlang dan penuh berdisiplin bagi meraih kemenangan kedua apabila melayan kunjungan MISC-MIFA di Stadium Shah Alam, 23 Februari ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden FELCRA FC, Datuk Hazian Murad, turut memuji aksi cemerlang anak buahnya ketika menewaskan Sarawak.

"Saya sentiasa yakin dengan kemampuan pemain saya, dari awal perlawanan lagi saya percaya mereka mampu lakukan yang terbaik. Alhamdulillah mereka membuktikan bahawa FELCRA FC sememangnya layak berada di Liga Perdana. Kami akan terus melangkah bagi mencapai misi kami musim ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2018 @ 8:53 PM