VAN Dijk (kiri) puas hati benam bekas kelabnya 2-0. -Foto Reuters
AFP

SOUTHAMPTON: Virgil Van Dijk berkata dia menikmati kepulangannya ke Southampton apabila rakan sepasukan barunya di Liverpool, Roberto Firmino dan Mohamed Salah memastikan kemenangan 2-0 ke atas bekas kelabnya di St Mary’s.

Pemain Belanda itu diejek penyokong tuan rumah selepas perpindahan bernilai 75 juta pound (RM412.5 juta) ke Anfield bulan lalu, tetapi dia membalasnya dengan menghantar The Saints kembali ke zon penyingkiran dan meraih kemenangan Liga Perdana Inggeris (EPL) pertamanya sebagai pertahanan termahal di dunia.

Sebaliknya Liverpool melonjak mengatasi Tottenham Hotspur di tangga ketiga dan hanya dua mata di belakang Manchester United yang berada di tangga kedua.

“Saya rasa tidak adil kerana tidak ada sesiapa tahu apa yang berlaku ketika musim panas dan beberapa bulan lalu, tetapi saya hanya menyimpannya sendiri dan menikmatinya,” kata Van Dijk.

Liverpool kendalian Jurgen Klopp juga seperti sudah terbiasa dengan gol awal dalam tempoh 10 minit pertama permainan, apabila mengulanginya untuk kali kesembilan musim ini.

Van Dijk memulakan gerakan untuk gol pertama yang akhirnya sampai kepada Salah dan pemain Mesir itu membuat umpanan kepada Firmino sebelum disempurnakan pemain Brazil itu pada minit keenam untuk gol ke-20 dirinya musim ini.

“Penting kepada kami untuk mendapat permulaan yang baik. Apabila anda menjaringkan gol pada 10, 15 minit pertama, ia menjadikan permainan lebih mudah, kurang tekanan,” kata Salah.

Liverpool menambah jaringan tiga minit sebelum tamat babak pertama dengan Firmino pula membuat umpanan kepada Salah untuk gol ke-22 pemain Mesir itu. Salah kini hanya satu gol di belakang Harry Kane dalam perebutan kasut emas musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2018 @ 8:38 AM