SATHIT (kiri) berdepan masa depan tidak menentu selepas pamer keputusan tak memberangsangkan. -Foto fail
Hasbullah Ibrahim
sukanteam@nstp.com.my


PERSATUAN Bolasepak Kelantan (KAFA) enggan mengambil keputusan terburu-buru termasuk kemungkinan memecat jurulatih, Sathit Bensoh berikutan prestasi kurang memberangsangkan skuad The Red Warriors (TRW) dalam tiga perlawanan lalu.

Mengesahkan perkembangan itu, Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan, berkata pihaknya tidak mahu membuat sebarang keputusan yang boleh merugikan pasukan Kelantan.

Katanya, sebarang rombakan pasukan mesti berdasarkan laporan jawatankuasa pengurusan yang dipengerusikan seorang EXCO KAFA.

“Masih terlalu awal untuk menekan butang panik kerana saingan liga baharu bermula dengan pasukan yang bersaing masih lagi mencari rentak. Malah pasukan berstatus pilihan juga tewas dalam perlawanan ketiga.

“Kita sepatutnya meraih sembilan mata maksimum dalam tiga perlawanan awal namun memperoleh satu mata saja di laman sendiri. Satu situasi yang turut membimbangkan saya sejak menerajui KAFA,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada aksi pertama menentang Melaka United (MU) di tempat lawannya itu, Kelantan tewas 2-1, sebelum terikat 1-1 ketika melayan kunjungan Terengganu di laman sendiri. Mereka kemudian kalah 3-0 kepada Pahang di Kuantan.

Mengulas lanjut, Bibi berkata, beliau tetap berpuashati dengan komitmen pemain TRW dalam usaha mencari gol kemenangan.

Namun, katanya, ada juga sesetengah pemain di posisi tertentu perlu dipertingkatkan segera.

“Sebelum aksi keempat bertemu Perak di laman sendiri pada 24 Februari ini, saya akan minta laporan penuh dari ketua jurulatih berhubung dua kekalahan dan satu seri sebelum ini.

“KAFA tidak mahu lagi tercicir mata ketika bertemu Perak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2018 @ 1:16 PM