SUFFIAN (kanan) menerima jersi daripada wakil Kobert selepas perlawanan Liga Super 2018 Terengganu FC menentang Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasirudin Shah. -Foto ROZAINAH ZAKARIA
Malik Muhamad


PEMAIN paling senior Liga Malaysia (Liga M), Mohd Suffian Abdul Rahman ingin mengikut jejak penjaga gol Itali, Gianluigi Buffon dalam misi meneruskan rentak cemerlang bersama skuad Terengganu FC (TFC) musim ini.

Malah penjaga gol skuad skuad Penyu yang lebih dikenali sebagai ‘Tiger’ itu juga menjadikan penjaga gol kelab Juventus itu yang kini berumur 40 tahun sebagai idola selain berazam terus cemerlang walaupun sudah berusia.

Berdasarkan kedudukan terkini selepas tiga perlawanan Liga Super, Suffian, 40, yang menjadi kini menjadi penjaga gol nombor satu TFC tekad terus kebal di gawang seperti dilakukan Buffon.

“Selepas 21 tahun bergelumang dengan sukan ini, saya berhasrat bersara. Tapi tawaran daripada Terengganu ketika saingan Liga M sudah bermula tatkala saya menjadi jurulatih penjaga gol pasukan kelab AirAsia, bagaikan diberi nafas baharu.

“Tawaran itu sukar untuk saya tolak kerana peluang seperti ini tidak selalunya hadir biarpun usia saya ketika itu sudah menjangkau 39 tahun. Bermula daripada situ, saya tekad beraksi cemerlang bersama skuad Terengganu dan memasang impian untuk menjadi penjaga gol nombor satu.

“Selepas berakhir saingan Liga M musim lalu dengan muncul naib juara Liga Perdana, saya fikir jodoh saya bersama skuad TFC akan berakhir apatah lagi usia memasuki 40 tahun.

“Tetapi jangkaan saya meleset apabila khidmat saya masih diperlukan. Malah lebih mengejutkan saya diletakkan menggalas tanggungjawab lebih besar iaitu sebagai penjaga gol nombor satu.

“Ternyata idola saya iaitu Buffon yang masih aktif dan diberi kepercayaan sebagai penjaga gol utama Juventus mendorong keyakinan saya untuk terus beraksi cemerlang dalam kancah Liga M musim ini,” kata Suffian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui menerima jersi tertera nombor 40 dan nama Buffon di bahagian belakang daripada Pengarah Kobertbell Marketing (M) Sdn Bhd, Mohd Faeez Asry Yusoff sebagai penghargaan buatnya.

Ketika ditanya rahsianya kekal cergas dan tangkas di gawang sehingga kini, bekas penjaga gol kebangsaan dengan ketinggian 1.76 meter itu menyatakan latihan berterusan dan faktor pemakanan adalah petua utama.

“Bukan mudah beraksi dalam kejohanan kompetitif seperti Liga M ini. Tapi jika seseorang pemain itu mengamalkan disiplin tinggi dalam semua aspek termasuk pemakanan dan latihan, kejayaan pasti akan diperoleh,” kata Suffian yang berterima kasih kepada Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) dan jurulatih Irfan Bakti Abu Salim kerana memilih dirinya menyertai skuad TFC musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2018 @ 3:01 PM