PELUMBA negara, Shariz (tengah), Fadhil (kanan) dan Khairil Nizam pikul tugas getir di ACC, hari ini.
PELUMBA negara, Shariz (tengah), Fadhil (kanan) dan Khairil Nizam pikul tugas getir di ACC, hari ini.
Azlan Muhammad Zain

Nilai: Tumpuan hari pertama Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) yang bermula hari ini adalah terhadap acara pecut berpasukan dengan trio negara turun beraksi dalam misi memecahkan rekod kebangsaan berusia 10 tahun.

Gandingan Fadhil Zonis, Shariz Efendi Shahrin dan Khairil Nizam Rasol diharapkan mampu memadamkan catatan 44.725 saat yang dilakukan Azizulhasni Awang, Josiah Ng dan Rizal Tisin pada Olimpik 2008.

“Misi utama adalah memecahkan rekod kebangsaan selepas mereka hampir berjaya melakukannya ketika menang emas Sukan SEA tahun lalu dengan 44.776s,” jelas jurulatih pecut negara, Junaidi Nasir.

Beliau bagaimanapun mengakui sukar meramalkan potensi pingat kerana kebanyakan negara termasuk Malaysia sedang membangunkan pelumba baru bagi menghadapi Olimpik 2020.

“Bagi saya, pingat adalah bonus namun saya lebih mengharapkan untuk mereka memecahkan rekod kebangsaan. Ia menunjukkan mereka boleh melangkah ke tahap seterusnya.

“Tempoh kurang setahun ini diharapkan kami dapat mengenal pasti kelemahan yang ada bagi menghadapi musim baru siri Piala Dunia,” jelasnya.

Hari pertama ACC menyaksikan tujuh pingat emas ditawarkan termasuk acara pecut berpasukan yang menjadi tumpuan utama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2018 @ 10:37 AM