NILAI 17 FEBRUARI 2018. Pelumba basikal Malaysia, Muhammad Afiq Afify dan Muhammad Khairul Adha memenangi emas dalam acara Tendem Sprint Lelaki katagori Para B di Kejohanan Lumba Basikal Asia (ATC) 2018 yang diadakan di Velodrom Nasional Nilai. NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Fadhli Ishak

 

PELUMBA Para kebangsaan menguasai kedua-dua acara pecut tandem lelaki dan wanita (B) di Kejohanan Trek Para Asia (ATC), hari ini.

Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais dan Noraidillina J Sam yang memenangi emas pada penampilan pertama di Sukan Para Asean Kuala Lumpur tahun lalu, mengulangi kecemerlangan apabila mencatat kemenangan 2-0 ke atas rakan sepasukan kebangsaan Nur Syahida Tajudin dan Nurul Suhada Zainal pada aksi final.

Azlia-Noraidillina memenangi pecutan pertama dan kedua dengan catatan 12.409s dan 12.305s.

Dengan gelaran ATC sudah berada dalam genggaman, gandingan emas itu kini meletakkan sasaran untuk beraksi cemerlang di Sukan Para Asia di Indonesia tahun ini.

“Sasaran utama kami musim ini ialah beraksi cemerlang di Sukan Asia, jadi kemenangan di sini adalah permulaan yang baik tahun ini buat kami,” kata Noraidillina.

“Kami baru digandingkan tahun lalu jadi saya rasa ia satu perkembangan positif. Matlamatnya adalah terus memperbaiki catatan bagi membolehkan kami bertanding di peringkat lebih tinggi daripada ATC.”

Pemenang pingat gangsa kejuaraan dunia, Muhammad Afiq Afify Rizan dan Muhammad Khairul Adha Rasol turut menguasai pecut tandem lelaki (B) dengan kemenangan 2-0 ke atas rakan senegara, Aiman Asyraff Ahmad Bajuri-Mohd Faizal Mohamed Noh, dengan catatan 10.659s dan 10.833s.

Muhammad Khairul Nizam Mohd Ali-Muhammad Firdaus Zonis meraih gangsa untuk Malaysia yang menyapu bersih kedudukan podium.

Acara kejar-mengejar individu lelaki C1-C3 menyaksikan Shukor Farhan Suliman dan Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin meraih perak dan gangsa manakala emas dimenangi Shota Kawamoto dari Jepun.

Kelas C4-C5 dalam disiplin yang sama menyaksikan Mohd Najib Turano meraih perak di belakang Mehdi Mohammadi dari Iran manakala Muhammad Fadli Imammudin memperoleh gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Februari 2018 @ 10:53 PM