PEMAIN SSTMI sedia rangkul MCKK Premier 7s kali kelima.
PEMAIN SSTMI sedia rangkul MCKK Premier 7s kali kelima.

STATUS sebagai juara empat kali meletakkan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) sebagai pilihan untuk mengungguli Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK Premier 7s) yang bermula Jumaat hingga Ahad ini.

Jurulatih pasukan, Syed Shazril Syed Mahadzir bagaimanapun mengingatkan anak buahnya supaya tidak memandang mudah pasukan lawan dan mahu mereka terus kekal fokus biarpun hanya satu saja pasukan dari luar akan menyertai kejohanan itu kali ini.

“Kami sudah melakukan persediaan rapi dengan menyertai Kejohanan Ragbi Rembau 7s B-17 bulan lalu.

“Biarpun sekadar muncul naib juara namun saya sudah mendapat bayangan siapakah pemain yang akan dihantar untuk mengibarkan cabaran SSTMI,” katanya.

Menurut Syed Shazril, antara pasukan yang perlu diberi perhatian anak buahnya adalah pasukan tuan rumah, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

“MCKK menunjukkan mutu permainan yang semakin meningkat naik. Mereka akan menjadi lawan sukar di Kuala Kangsar nanti.

“Selain itu, SMK Mersing juga pasukan yang bagus dan perlu diberi fokus. Jadi, saya harap pemain tidak terlalu yakin apabila bertemu mereka nanti,” katanya.

Untuk rekod, SSTMI pernah muncul juara pada tahun 2011, 2012, 2016 dan 2017. Tahun lalu, SSTMI dinobatkan juara selepas berjaya membenam cabaran Sekolah Sukan Hong Kong (HKSS) 38-10 pada perlawanan akhir.

SSTMI diundi dalam Kumpulan A bersama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Haji Othman Abdul Wahab (SHOAW), Sekolah Berasrama Penuh Intergrasi Kubang Pasu (IKUP) dan MRSM Kuala Terengganu (MRSMKT).

Sebanyak 24 pasukan yang dibahagikan kepada enam kumpulan bakal turun beraksi merebut kejuaraan kali ini dengan Sekolah Antarabangsa Australia menjadi pasukan tunggal dari luar negara mengesahkan penyertaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2018 @ 5:53 PM