GABBIADINI (kanan) jaring gol penyamaan Soton. FOTO/AFP
GABBIADINI (kanan) jaring gol penyamaan Soton. FOTO/AFP
Reuters

LONDON: Southampton berjaya melepasi zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris selepas Manolo Gabbiadini menjaringkan gol penyamaan untuk seri 1-1 dengan Burnley semalam.

Burnley hampir merekodkan kemenangan pertama selepas 10 perlawanan apabila Ashley Barnes menanduk masuk gol pendahuluan pada separuh masa kedua namun Southampton berjaya merebut satu mata daripada perlawanan itu.

Perlawanan di Turf Moor semakin sampai ke penghujung apabila Gabbiadini menyelinap untuk menyambut hantaran Guido Carrillo ke gawang lawan, biarpun Burnley berang selepas pengadil Bobby Madley secara tidak sengaja menghalang pergerakan pemain mereka Ashley Westwood ketika itu.

Southampton hanya melakar satu kemenangan daripada 15 aksi liga tetapi hanya tewas satu daripada enam perlawanan terakhir ketika pengurusnya Mauricio Pellegrino memerhatikan perlawanan itu.

“Satu mata diperolehi dan sudah pasti kami akan berdepan perlawanan penting selepas ini tetapi seri sama penting seperti menang hari ini,” katanya.

Sebelum jaringan Gabbiadini pada minit ke-90, Southampton masih di kelompok tiga terbawah tetapi kini berada di depan Crystal Palace dan Swansea City menerusi perbezaan gol.

Burnley kekal di tangga ketujuh dengan 37 mata namun keputusan itu tetap mengecewakan pengurus Sean Dyche.

“Permainan mereka baik, cukup baik untuk menang tiga mata. Kami hanya berjaya menambah satu mata,” katanya.

“Perlawanan ini bagai tidak menghasilkan apa-apa, mereka berusaha keras tetapi gagal mencipta peluang.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2018 @ 2:16 PM