WENGER (kiri) salahkan pertahanan selepas tewas 0-3 kepada City. FOTO/AFP
Reuters

LONDON: Pengurus Arsenal Arsene Wenger menyalahkan kesilapan pertahanan pasukannya selepas tewas 0-3 kepada Manchester City pada final Piala Liga awal pagi tadi, namun turut berkata sistem ulangan video sepatutnya memutuskan satu daripada gol berkenaan dibatalkan.

Kelab utara London kini mencatat kekalahan keenam final Piala Liga, tiga di bawah Arsene Wenger yang tidak pernah menjulang gelaran itu, manakala City mencatat tiga kejayaan dalam tempoh lima tahun.

“Kami dihukum kesilapan sendiri,” kata jurulatih kelahiran Perancis itu selepas perlawanan di Stadium Wembley.

“Anda tidak boleh katakan yang anda tidak kecewa apabila bolos seperti cara kami dibolosi. Namun anda mengambil baik dan buruk apabila menjadi pengurus dan itulah sebahagian daripada perlawanan.”

Jaringan Sergio Aguero, Vincent Kompany dan David Silva memberikan City kemenangan mudah dalam final domestik pertama membabitkan kedua-dua pasukan.


PENYOKONG Arsenal meluahkan perasaan selepas tamat perlawanan. FOTO/AFP

Bekas penyerang Tottenham Hotspur Teddy Sheringham memberitahu BBC: “Jika Arsenal mahukan peluang hari ini mereka perlu bermain pada tahap sembilan per sepuluh dan saya tidak fikir mana-mana pemain Arsenal bermain lebih daripada lima per sepuluh. Tiada siapa yang beraksi dengan baik.

“Peminat Arsenal pastinya lebih kecewa dengan prestasi pasukan berbanding keputusannya.”

Menurut Wenger jaringan Kompany pada separuh masa kedua sepatutnya dikira ofsaid oleh Video Bantuan Pengadil (VAR) yang digunakan buat pertama kali dalam perlawanan akhir piala berkenaan di England.

“Gol kedua adalah ofsaid. Saya tidak tahu, kami menerima VAR, saya menontonnya sekali lagi. Satu misteri bagi saya bagaimana anda boleh melihat tayangan ulangan dan tidak mengiranya sebagai ofsaid,” kata jurulatih itu.

Dia juga mempertahankan keputusannya untuk menurunkan tiga pertahanan dan bukannya empat, mendakwa formasi itu membantu pasukan sebelum ini termasuk ketika berdepan Manchester City.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2018 @ 8:27 AM