FEDERER percaya pemain muda sukar ulangi pencapaian pemain senior. - FOTO EPA-EFE
AFP

LEGENDA tenis, Roger Federer percaya sukar buat pemain generasi muda untuk mengulangi pencapaiannya dan juga dua lagi bintang veteran, Rafael Nadal serta Novak Djokovic yang memiliki deretan koleksi trofi Grand Slam.

Pemain Switzerland berusia 36 tahun itu yang ketika ini memegang rekod pemenang Grand Slam terbanyak dengan 20 gelaran bercakap demikian di depan sekumpulan kecil wartawan menjelang anugerah Laureus, semalam.

Federer yang terlepas aksi di ATP Dubai, minggu ini untuk menghadiri majlis berkenaan berkata generasi muda seperti pemain Bulgaria, Grigor Dimitrov dan jaguh Austria, Dominic Thiem mampu untuk memenangi Grand Slam tetapi 10 gelaran mungkin sukar buat mereka.

“Sudah tentu sukar untuk melihat salah seorang pemain memperoleh 10 gelaran Grand Slam ketika ini,” kata Federer. 

“Ia lebih mudah untuk mengatakan yang mungkin ramai pemain akan menang satu atau dua Grand Slam tetapi untuk menang 10 adalah sesuatu yang kamu tidak boleh jangka, dan sejujur-jujurnya, orang tidak mampu menjangkakan daripada saya.

“Mungkin dengan Rafa (Nadal) dengan Terbuka Perancis kamu boleh katakan dia akan menyambar beberapa lagi gelaran.

“Mungkin dia akan menang lima lagi gelaran (sudah menang 10) kerana dia adalah pemain muda yang menakjubkan seperti Bjorn Borg kerana mereka adalah pemain muda terbaik pernah kita miliki dalam sukan ini.” 

Federer yang masih segar dengan kemenangan di ATP Rotterdam di mana dia menewaskan Dimitrov di final begitupun mengakui tuah boleh berubah dengan sekelip mata.

“Apabila kamu bertarung dengan pemain seperti Novak dan saya, apabila kamu pandang ke belakang, kemudian kamu lihat beberapa tahun kemudian, kamu sudah memenangi lapan ke 10 Grand Slam, ia gila,” kata Federer yang juga pemain nombor satu dunia.

Tetapi Federer tetap percaya tenis tidak akan bergelut apabila pemain bintang sepertinya, pemenang 16 kali Grand Slam, Nadal dan Djokovic yang memiliki 12 gelaran serta Andy Murray menggantung raket.

“Tenis sentiasa menghasilkan juara dan masa depan tidak pernah membimbangkan saya,” katanya. “Seseorang akan mengikuti jejak langkah kami dan menjadi juara.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2018 @ 9:51 AM