PEMAIN Kedah Muhammad Farhan Roslan (kiri) diasak pemain Negeri Sembilan, Mohd Aizulridzwan Razali pada perlawanan Piala FA di Stadium Darul Aman. FOTO/SHARUL HAFIZ ZAM
Izzali Ismail
sukanteam@nstp.com.my


KEDAH mencatatkan kemenangan sulung di laman sendiri, musim ini apabila menewaskan Negeri Sembilan 1-0 di Stadium Darul Aman pada aksi pusingan kedua Piala FA, malam tadi.

Kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar muncul wira pasukannya apabila meledak jaringan tunggal pada minit ke-119 selepas Negeri Sembilan mengheret permainan ke masa tambahan.

Berpunca daripada hantaran bijak pemain gantian Syazwan Zainon ke tengah kawasan penalti pelawat, Baddrol bijak meloloskan diri untuk menewaskan penjaga gawang Negeri Sembilan, Ilham Amirullah.

Permainan bermula rancak sebaik wisel ditiupkan dengan pelawat memulakan asakan dengan percubaan seawal minit ke-2 oleh Mony Udom namun rembatannya lemah dan mudah diselamatkan penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal.


BADDROL meraikan jaringan kemenangan di Stadium Darul Aman. FOTO/SHARUL HAFIZ ZAM

Skuad kendalian Ramon Marcote yang mempertaruhkan Sandro Da Silva sebagai penyerang utama mula membuat gerakan bahaya ke pintu gol lawan melalui percubaan pada minit ke-11 tetapi berjaya diselamatkan Ilham.

Pada minit ke-16, Sandro sekali lagi terlepas peluang mencetak gol berpunca daripada sepakan percuma namun percubaannya mudah dibaca penjaga gawang lawan dan cubaannya enam minit sebelum babak pertama berakhir juga tersasar.

Pada babak kedua, Kedah meneruskan rentak menyerang namun pelawat hampir mencipta kejutan apabila gerakan pantas Mony Udom gagal disudahkan apabila percubaan tersasar ke bahagian kiri pintu gol Kedah.

Gerakan bahaya yang digerakkan Kedah melalui sayap kanan Andik Vermansyah juga kerap mengucar kacirkan pertahanan lawan namun masih gagal menghasilkan gol.

Baddrol turut mencemaskan gawang Negeri Sembilan dengan dua cubaan yang baik namun tetap buntu sekali gus mengheret permainan ke masa tambahan.

Pada masa tambahan Kedah terus mempamerkan corak menyerang dan memiliki deretan peluang melalui Sandro, Liridon, Andik dan Baddrol tetapi ia gagal menghasilkan jaringan sehingga gol yang diburu muncul seminit sebelum perlawanan terpaksa ditentukan menerusi penentuan penalti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Mac 2018 @ 12:21 AM