RAFIQ Ismail
Jumiati Rosly

Kuala Lumpur: Pemain kebangsaan, Rafiq Ismail tetap berharap dapat menyumbang pingat buat kontinjen negara pada Sukan Asia di Indonesia, Ogos ini meskipun acara perseorangan dan beregu sudah digugurkan.

“Secara logiknya lagi banyak acara yang dipertandingkan, lagi banyaklah peluang untuk mendapatkan pingat tetapi saya sendiri tidak tahu kenapa (pengguguran acara itu).

“Saya ada tanya kawan-kawan saya di sana (Indonesia) tetapi mereka juga tidak tahu kenapa kerajaan mereka buat keputusan begitu. Perkara ini agak menyedihkan buat kejohanan boling bukan sekadar untuk Malaysia tetapi juga semua negara Asia lain bersedih,” katanya yang akan menyertai Sukan Asia buat kali kedua.

Rafiq berkata, pengguguran dua acara itu tidak pernah dilakukan sebelum ini dan sebaliknya ia dipertandingkan ketika Indonesia menjadi tuan rumah Sukan SEA pada 2011.

Berbanding keseluruhan lima acara yang sering dipertandingkan dalam mana-mana temasya, Indonesia hanya akan mempertandingkan acara trio, berpasukan dan masters.

“Acara individu yang ada nanti hanya masters dengan mata akan dicampur daripada acara trio dan pasukan dengan hanya 16 terbaik akan pergi ke masters. Jadi kami perlukan kerjasama pasukan untuk mara,” katanya yang memenangi pingat perak berpasukan lelaki pada Sukan Asia 2014 di Incheon.

Rafiq berkata, pengurangan acara yang dipertandingkan juga akan memberi kesan terhadap rentak permainan seseorang.

“Kami sudah terbiasa dengan permainan lima acara dengan dimulakan perseorangan, beregu kemudian trio pasukan dan selepas itu masters. Jadi setiap hari itu kami boleh dapatkan rentak dan menyesuaikan diri dengan corak minyak selepas beberapa permainan,” katanya.

Selain itu, Rafiq juga berkata Indonesia bakal menganjurkan sukan boling di pusat boling yang baru di Jakarta dan semua peserta tidak pernah bermain di situ.

“Biar apa pun, saya memang mahukan pingat kali ini dan kalau boleh nak pingat emas seperti yang dicita-citakan pemain lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Mac 2018 @ 7:47 AM