PERMAIN badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei tidak berpuas hati dengan peraturan servis baharu. - Foto Owee Ah Chun
Oleh Helmi Talkah


JAGUH perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei berpendapat Persekutuan Badminton Dunia (BWF) tidak sepatutnya memperkenalkan peraturan pukulan servis yang baharu pada saingan Seluruh England di Birmingham dari 14 hingga 18 Mac ini.

Pemain nombor dua dunia itu berkata, memandangkan prestij Seluruh England sebagai kejohanan utama dan tertua dunia, adalah lebih elok BWF mengujinya terlebih dahulu di kejohanan yang lebih kecil. 

"Sukar untuk saya komen mengenai perkara ini kerana Seluruh England kali ini adalah kali pertama saya akan melakukan pukulan servis mengikut peraturan baharu. Secara peribadi, BWF sepatutnya menguji dulu peraturan ini di kejohanan lebih kecil dan bukannya kejohanan utama seperti Seluruh England. 

"Berdasarkan keputusan ini, ia pasti akan menjadi masalah. Pada saya, saya akan cuba buat seperti biasa tetapi jika dikesan melakukan kesalahan, saya akan tanya pengadil servis tentang cara yang betul," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, hari ini.

Peraturan baharu yang diperkenalkan BWF itu menyaksikan pemain perlu memastikan bulu tangkis perlu berada pada ketinggian tidak melebihi 1.15 meter daripada permukaan gelanggang ketika mahu melakukan pukulan servis. 

Sebelum ini BWF menetapkan ia tidak boleh melebihi ketinggian 1.1m. 

Peraturan servis baharu itu yang mula digunakan pada saingan Terbuka Jerman yang sedang berlangsung ketika ini menimbulkan kemarahan dikalangan pemain badminton dunia terutama yang memiliki fizikal lebih tinggi. 

Juara dunia lima kali dari China, Lin Dan antara yang meluahkan rasa tidak puas hati dengan keputusan BWF memperkenalkan peraturan baharu itu. 

Dia yang turut beraksi pada Terbuka Jerman menerusi laman sosialnya berkata: "Bermain dalam kejohanan berbeza selama hampir sedekad, menjalani latihan selama 30 tahun tetapi tahun ini BWF mahu mengajar semua orang cara melakukan pukulan servis sekali lagi. 

"Peraturan baharu ini bermula pada Terbuka Jerman dan ramai pemain yang tidak berpuas hati, begitu juga saya. Fokus untuk perlawanan tidak lagi terarah kepada pemain kerana pengadil kini boleh mengawal seluruh perlawanan. 

"Pada mulanya saya menganggap peraturan pukulan servis baharu ini akan menggunakan teknologi sebagai sokongan tetapi tidak, keputusan dibuat oleh mata manusia (pengadil). Penggunaan 'Hawk eye' lebih meyakinkan. 

"Saya tidak menyalahkan pengadil kerana itu adalah tugas mereka. Saya cuma terfikir apa yang BWF mahukan? Apa tujuan peraturan baharu ini? Adakah kamu mahu menjadikan badminton lebih baik? 

"Secara jujur, saya merasakan kamu terlalu mahu mengikut sukan tenis tetapi kamu gagal. Apa yang kamu perlukan adalah mendapatkan nasihat daripada pemain profesional dan jurulatih berbanding hanya kamu yang berbincang dan membuat keputusan seperti ini," kata Lin Dan yang juga pemenang emas Olimpik 2008 dan 2012. 

Sementara itu, seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia tidak bersetuju dengan peraturan baharu yang diperkenalkan BWF kerana ia menyukarkan dirinya yang mempunyai ketinggian 1.86m. 

"Memang tak setuju, yang lama pun sudah ok. Saya tidak faham apa tujuan BWF membuat peraturan baharu ini. Ia menyukarkan pemain yang lebih tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Mac 2018 @ 8:52 PM